Monday, August 29, 2005

Kemerdekaan dan Malam Puisi Merdeka, Putrajaya


31 Ogos 1957 hingga 31 Ogos 2005.
Sudah 48 tahun lamanya kita merdeka. Setiap tahun, pada masa tersebut, kita akan melaungkan perkataan keramat ini, yang menaikkan setiap bulu roma kita setiap kali ianya diucap kuat.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Di setiap pelusuk tanah air, pasti ada sekurang-kurangnya satu bendera yang terpacak. Baguslah, jika ianya dipacak atas nama semangat kemerdekaan, tetapi malanglah jika ianya terpacak kerana, alah..barang free, letak je lah. Di atas kenderaan, sama ada bendera kecil yang dilekatkan atau bendera besar yang membalut tubuh kenderaan, sangat menaikkan perasaan patriotik kemerdekaan. Baguslah jika ianya kerana gembira dan bangga tentang negara, namun malanglah andai kata bendera yang terpacak itu, sekadar memenuhi arahan tanpa niat ikhlas kerana negara. Lebih-lebih lagi apabila bendera itu rupa-rupanya edaran di pejabat, yang mana semua orang, tak kiralah yang punya kenderaan atau pun berjalan kaki, atau menggunakan LRT semua orang mendapatnya. Dalam pada itu, dalam kebanggaan melihat bendera berkibar megah diatas kenderaan, perasaan sedikit terguris bila melihat tidak sedikit juga bendera yang jatuh diatas jalan raya bila angin yang kuat kencangnya menyebabkan bendera terlepas daripada tempat asalnya dan akhirnya terbang dan jatuh. Kemudian, kenderaan lain berdesup desap laju terus melenyek bendera jalur gemilang itu. Sigh...

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Di tempat membeli belah juga, terasa aura kemerdekaan dengan bendera Malaysia disamping dekorasi lain yang ada kalanya, terasa menenggelamkan Jalur Gemilang yang dipasang. Emh, cantik sebenarnya bendera Malaysia yang dicipta oleh En. Mohamad bin Hamzah ini, seorang arkitek anak jati Johor dalam sebuah pertandingan. Rekaan arkitek ini telah diumumkan setelah diterima melalui pendapat majoriti orang ramai dalam The Malay Mail pada 29 November 1949. Setelah melalui beberapa penyesuaian maka pada 19 April 1950 dibacakan seperti berikut sebagai usul terima bendera Malaysia (pada ketika itu Persekutuan Tanah Melayu) :
"That in the opinion of this Council the Flag of the Federation of Malaya should be as follows:- Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the uppermost stripe being red, having a blue quarter with a cresent and eleven pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet."
Pada 26 Mei 1950, buat pertama kalinya bendera tersebut dikibarkan di perkarangan Istana Sultan Selangor, pertama kali dikibarkan dibumi Tanah Melayu. Kerana itu, jika dikirakan tempoh masanya bendera Jalur Gemilang ini (pada waktu itu belum dibei nama lagi) telah dulu diangkat sebagai lambang negara (walaupun pada ketika itu, negara ini belum merdeka).

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Bertempat di Kelab Tasik Putrajaya, bersebelahan Masjid Putrajaya yang menjadi lambang agama Islam negara, agama rasmi Malaysia dan berhadapan Bangunan Persekutuan yang berkubah hijau, pada malam Ahad, 28.08.05 yang lalu[ketika itu rancak di tv3 menayangkan program realiti tv: Mentor] hangat malam itu dengan bacaan puisi kemerdekaan oleh para pemuisi negara. Semangat merdeka diekspresikan melalui sajak-sajak dan nyanyian puisi yang menyentuh tentang bangsa Malaysia umumnya, dan bangsa Melayu khususnya. Menyentuh tentang betapa kita sebenarnya hanya sekelumit menghirup nafas kemerdekaan ini kerana sebenarnya kita telah dijajah selama 400 tahun sebelum kemerdekaan ini kita capai. Malam itu kami mengenang pejuang-pejuang tanah air, seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Dato' Maharajalela dan lain-lain yang menumpahkan darah mereka, yang hilang nyawa mereka mempertahankan negara daripada penjajah! Betapa pada hari ini, ramai anak muda yang hanya menumpahkan air mata kerana program realiti tv. Betapa anak-anak muda lebih merasa sedih melihat pujaan hati mereka tersingkir kerana tidak cukup undian daripada mengalirkan air mata mengenang pengorbanan pahlawan negara yang berjuang mempertahankan negara. Betapa kita lebih ingat siapakah yang tersinggkir di minggu pertama daripada mengenangkan nyawa pahlawan negara yang disingkir oleh penjajah ketika pejuang ini mengangkat senjata menentang si penjajah. Lebih menyentuh rasa apabila anak Melayu hari ini, sangat lemah dek pengaruh barat dan penjajahan senyap kuasa-kuasa luar [melalui dadah, fesyen, konsert dan lain-lain] yang cemburukan negara Malaysia yang aman ini.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Malam itu Pak Samad membacakan sajaknya tentang tuah Malaysia yang dikurniakan dengan empat Perdana Menteri yang terdahulu. Sengaja tidak dibacakan tentang Perdana Menteri yang sekarang, katanya. Setiap pemimpin negara kita ini telah menyumbang bakti yang tidak ternilai, bermula dengan (Allahyarham) Tunku Abdul Rahman, kemudian (Allahyarham) Tun Abdul Razak, (Allahyarham) Tun Hussein Onn, dan kemudiannya Tun Dr. Mahathir. Kita beruntung mempunyai pemimpin - pemimpin yang bukan calang orangnya, kerana bangsa Malaysia adalah bangsa majmuk. Masyarakat yang berbeza budaya, agama dan cara hidup tetapi Allah mengurniakan negara kita dan masyarakat kita ini dengan seseorang yang berupaya menyatukan bangsa-bangsa ini. Bukan sedikit pengorbanan pemimpin2 ini. Kemudian kesinambungan kepimpinan negara ini disambung pula oleh YAB Datuk Seri Abdullah yang beriltizam membawa Malaysia kepada sebuah negara yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang. Sudahkah kita melafazkan syukur Alhamdulillah hari ini kerana nikmat kemerdekaan dan keamanan negara ini?

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Diakhirnya, marilah kita mempertahankan kemerdekaan ini dengan nilai ketimuran kita, memegang nilai bangsa kita dengan utuh, berpaksikan agama kita dengan kuat dan sentiasa ingat pada sejarah kita. Kita ini adalah bumi yang bersejarah. Marilah kita mengibarkan Jalur Gemilang, kerana kita berbangga dengan bendera dan negara kita. Marilah laungkan kata Merdeka dengan semangat patriotik sebagai tanda kita pewaris bangsa. Marilah kita memastikan bahawa air mata kita yang jatuh, malah jika darah sekalipun yang kita tumpahkan, adalah demi negara. Memetik kata salah seoarng pemuisi pada malam itu:
Kita orang Melayu,
Merdeka kerana Alif, Ba dan Ta.
Alif itu agama (Islam),
Ba itu Bangsa (Melayu),
Ta itu Tanah Air (Malaysia).

p/s: Marilah sedekah Al-fatihah untuk pemimpin-pemimpin negara, pejuang-pejuang negara, para tentera, polis dan setiap perwira yang berkorban nyawa demi tanah air kita yang tercinta ini, Al-fatihah.

1 comment:

Nadia Marzuki said...

mmmm...suka dengar pak samad baca puisi...rasa macam nak join malam tu tapi...tak boleh...uhuk!!!