Tuesday, February 06, 2007

Kisah 6: Sesuatu yang tidak terlihat...

Hati masih lagi terasa pedih.
Lalu pagi ini, bercerita saya pada seorang kenalan.
Bukan warganegara Malaysia. Tanah airnya jauh nun di India.
Semasa saya bercerita, dia mendengar.
Tutur bahasa English saya bukanlah baik sangat, tetapi maksudnya sampai barangkali.
Terangguk-angguk kepalanya. Sesekali kepalanya digerak-gerak seperti kebiasaan kaum ini bila bercerita dan berbicara.

Hati yang marah pada pencuri ni bukan apa. Sebabnya dia bakal menyusahkan saya. Bukankah saya teringin merakam gambar bayi kami yang akan lahir nanti? Saya dah merancang2 untuk merakamkan wajah bayi kami, dan nanti-nanti ingin dirakamkan detik-detik istimewa si kecil itu. Tapi si pencuri durjana itu memanglah orang yang terhina! Menyusahkan saya, malah keluarga kecil kami turut terkena tempiasnya.

Selesai bercerita, si teman tadi membuka bicaranya. Sebuah cerita yang tiba-tiba menyusup di hati kecil. Sebuah cerita yang seperti mengungkapkan sesuatu yang saya terlepas pandang dek rasa amarah terhadap si pencuri.
Cerita teman itu:

Ketika bapanya berumur 25tahun, beliau sudah punya 3 orang anak. Tinggal jauh di pedalaman disebuah kawasan di India, rumah mereka memang terletak jauh daripada rumah jiran yang lain. Jauhnya boleh dikatakan seperti, jika menjerit pun, belum dapat didengari oleh isi rumah yang berhampiran. Di rumah itu, tinggal bapanya bersama ibunya, dengan 3 anak iaitu dirinya yang ketika itu berusia 3 tahun, dan dua adiknya yang berumur 2 tahun dan 7 bulan masing-masing. Bapanya orang yang miskin, bekerja sebagai pekerja kontrak yang perlu berbasikal 90km setiap hari untuk ke tempat kerjanya. Lazimnya, bapanya akan keluar pagi dan pulang malam. Itu rutinnya. Di rumah yang tidak sepertinya itu, mereka sekeluarga diam disitu dengan keperluan yang sekadarnya.

Pada suatu malam dimusim panas, mereka sekeluarga tidur di luar rumah. Cuaca yang panas tidak mengizinkan mereka untuk tidur pada malam itu di dalam rumah. Dan pada malam itu, rupa-rupanya rumah mereka telah dimasuki pencuri. Seluruh harta benda didalam rumah itu telah dicuri. Segalanya. Mereka hilang semuanya. Kuali, tempat menyimpan susu, kain baju, duit yang ada, belanga malah bekalan susu untuk adiknya yang berusia 7bulan itu juga turut dicuri oleh si pencuri. Tiada apa yang tinggal untuk mereka kecuali rumah buruk itu dan pakaian yang dipakai masing-masing. Kata teman saya lagi, pencuri itu bukan saja mencuri malah malam itu mereka sempat memasak dalam rumahnya, tetapi malangnya mereka tidak dapat menghidunya. Malah di jangkakan si pencuri mesti datang beramai-ramai dan membawa kenderaan untuk melicinkan barangan dirumahnya itu.

Begitulah.

Keesokkan harinya, tiada apa yang ditinggalkan untuk mereka. Adiknya yang menangis mahukan susu juga tidak mampu diberikan susu kerana tiada apa pun barang yang tinggal. Maka datanglah semua jiran tertangga disekitarnya, ada yang meratap menangis mengenangkan keadaan mereka. Mereka yang menanggungnya sudah pastilah lebih merasa deritanya.
Dalam keadaan itu, dalam seorang sami (suami) yang tinggal tidak jauh dari situ. Sami ini, kata teman saya tidak pernah bercakap dengan keluarga nya sebelum hari itu. Tetapi pada hari itu, sami itu datang kepada bapa teman saya dan berkata, kesedihan kamu hari ini telah berakhir.

Mungkin itu takdirnya kerana sejak hari itu bapanya mula memperolehi kesenangan dalam urusan kerjanya. Malah beliau telah berjaya membuka perniagaan dan pada hari ini, beliau berjaya hidup senang dan berjaya membesarkan anak-anaknya dengan baik. Rumah kecil dan buruk itu telah menjadi mahligai indah yang besar untuk anak dan isterinya. Setelah melalui susah yang memeritkan, ianya seolah-olah dibalas dengan kebahagiaan dan kesenangan yang diperolehinya pada hari ini.

Begitulah.

Diakhirnya cerita teman itu, saya bersyukur tiada perkara yang buruk berlaku pada diri saya dan keluarga. Biarlah hilang kamera, tetapi nyawa masih diberikan-Nya. Ada mereka yang melalui saat yang lebih getir, namun berjaya mengharunginya. Mungkin ada hikmah disebaliknya semua peristiwa ini...

Hati, tenanglah dengan ujian ini...

Catitan 5: Kehilangan...

Saya memulakan hari pertama dalam minggu kedua bulan Februari ini dengan penuh kesedihan. Kesedihan yang masih terasa namun begitu mungkin inilah yang telah lebih dahulu tertulis tentangnya.

Mama** membuat pengubahsuaian rumah di Kampung Pandan. Membuat beberapa bilik baru untuk anak-anak dan menantu. Akibat daripada pengubahsuaian itu, rumah Mama di Kampung Pandan itu memang rompong tidak berpintu. Dinding depan rumah telah dirobohkan dan tiada pintu yang menjadi laluan utama. Dalam erti kata lain, rumah Mama yang belum siap itu dapat dilihat jelas isi rumahnya daripada lorong depan rumah. Malah orang yang lalu lalang memang tak lepas memandang rumah itu. Apatah lagi jika ada mata yang sememangnya bersambung dengan ligat akal yang penuh dengan niat jahat.

Malam Ahad yang lalu, saya dan Eina balik ke Kampung Pandan, ke rumah Mama selepas petangnya kami menghadiri majlis sepupu yang melangsungkan perkahwinannya di Shah Alam. Macam kebiasaannya, saya akan menjadi jurufoto tak bertauliah. Banyak jugak gambar yang berjaya di"snap" petang itu. Walaupun cuaca panas, oleh kerana minat, merakamkan gambar ini semacam satu kepuasan bila dapat merakamkan detik-detik bermakna untuk kedua mempelai. Daripada mula berarak hinggalah tangan menyuap santapan raja sehari kemulut pasangan. Segalanya terakam di kamera digital kecil ditangan.

Balik dari Shah Alam, mungkin kerana panas disiangnya, migraine menyerang. Tak banyak perkara dibuat malam itu, hanya berbaring sambil mata menonton ABPBH. Lepas mandi, terus saya ke ruang tamu yang tidak berdinding itu, menghampar tilam dan meletakkan kepala yang sakit berdenyut2. Kamera dan handphone diletakkan diTV, tak jauh daripada tilam tempat berbaring.

Berbaring untuk melelapkan mata, tiba-tiba handphone berbunyi. Isteri mengambil handphone dan memberikan kepada saya yang terlantar ditilam dengan jari memicit kepala. Rupa-rupanya sms daripada kawan yang baru membalas sms yang saya hantar siang tadi. Selepas itu, saya terlelap.

Hinggalah pagi Isnin itu, kira-kira jam 6:15 pagi, terdengar suara Mama bertanyakan tentang handphone nya yang diletakkan berdekatan dengan televisyen, diatas meja tinggi. Dalam terpisat-pisat bangun dan kepala yang masih berat akibat migraine semalam, saya terus menghalakan mata kearah televisyen, tempat saya meletakkan kamera bersama handphone (yang kemudiannya handphone saya letak disisi saya selepas membaca sms). Tak nampak pun casing hitam kamera saya. Kepala masih sakit, tetapi hati terus berdebar-debar. Mana dia kamera nih?

Bangun dan periksa di tepi tv. Sambil mulut berkata, mungkin adik ipar saya telah menyimpannya. Tak ada! Mama pula waktu itu terus menerus mengatakan, rumah dimasuki orang! Rumah dimasuki pencuri!

Biar betul!

Terkocoh-kocoh saya lari keluar rumah untuk melihat kereta. Waktu itu saya tak pasti dimana kunci kereta. Bimbang kalau-kalau kunci juga diambil pencuri. Alhamdulillah, kereta ada ditempat yang diparking. Berlari semula kerumah dan kemudian terduduk tidak percaya.

2 dompet (kepunyaan adik ipar saya, Bidin dan Ipin), 2 handphone (Mama dan Ipin) dan Kamera Casio Exilim EX500 saya yang disayangi telah hilang dicuri!

Rumah Mama dimasuki pencuri!

dan kami semua yang tidur diruang tamu tidak berdinding itu, seorang pun tidak menyedarinya.

Kata Mama, jam 2:00pagi dia baru masuk tidur.
dan jam 6:00pagi kami semua baru sedar, pencuri telah masuk rumah Mama.

Pencuri dah panjat pagar.
Pencuri dah cilok barang berharga.
Kamera yang disayangi sudah tiada.
Gambar perkahwinan sepupu lenyap bersamanya.

Dihari pertama minggu kedua bulan februari ni, saya mulakan dengan kesedihan akibat kehilangan...


**Mama pasti lagi sedih sebab handphone yang hilang tu pemberian arwah abah, dan handphone Ipin pulak adalah handphone yang arwah abah pernah pakai dan diberikan pada Ipin selepas arwah abah beli handphone yang lain.

Saturday, February 03, 2007

Nota 4: Selamat Bulan Februari

jpeg from: gettyimages




Apa yang kamu fikir tentang Februari?