Entri ini ditulis (difikiran) pada hari kesebelas dalam tahun 2011. Mengambil “semangat” 110111, kononnya. Dalam gundah demam yang sekoyong-koyong datang, tiba-tiba terbit di sudut hati untuk menulis kembali dalam blog yang semakin bersawang ini.
Menjangkau papan usia 30-an ini, aku sendiri merasakan semacam ada satu perubahan dalam diri yang sangat sukar aku tuliskan dengan kata-kata. Cuma aku sedar, sedikit sebanyak perubahan itu sedikit, jika tidak banyak “mencabar” aku yang dahulu. Aku yang melihat perkara dalam perspektif berbeza, aku yang menjadi lebih garang dan terkadang tegas yang sangat tegas, dan kesemua perubahan yang memberikan tekanan kepada keluarga kecilku. Dalam kebanyakan masa, aku sendiri bingung dan tertanya tentang diriku ini.
a. Apakah ini perubahan hormon testosteron yang semakin menurun (atau menaik, hinggakan aku menjadi vicious)?
b. Apakah tekanan akibat sekeliling sama ada di tempat kerja, di rumah atau di kedai buku? (Ya, Borders di BTS mengalami perubahan, dan perubahan itu adalah menjadikan Borders itu lebih kecil. Sungguh tidak seronok)
c. Apakah aku sudah hilang sifat feminisme aku yang kononnya tinggi satu ketika dahulu, hingga aku selesa berkawan dengan ramai kawan perempuan, berbanding lelaki.
d. Atau ada alasan lain yang aku perlu cari bagi menyedapkan hati yang gundah gulana ini.
Yang pasti, selepas sepuluh hari berlalu dalam 2011 ini, aku masih tiada jawapannya.
No comments:
Post a Comment