Tuesday, December 12, 2006

Entri ini tidak bertajuk


Pada 19 November 2006, abah meninggalkan kami, pulang ke Rahmatullah. Seorang suami kepada seorang isteri, seorang ayah kepada 5 orang anak dan 2 orang menantu, dan seorang datuk kepada seorang cucu. Abah hanya sakit dada, malah batuknya pagi itu, tidak banyak beza dengan batuknya yang sebelum ini. Cuma, pada tarikh itu, kesannya tidak sama seperti hari-hari yang lain. Abah menghadap Illahi pada jam 9:22 pagi, menurut catatan doktor di HKL.

Sebagai anak menantu, saya merakamkan terima kasih untuk sekalian yang telah banyak membantu dalam proses menguruskan jenazah. Juga terima kasih untuk teman-teman saya dan rakan-rakan Zarina, yang telah menelefon, mengirimkan sms, memaklumkan di email dan di blog, terima kasih atas sokongan kalian kepada kami dalam menghadapi detik sukar ini.

Benar kematian itu adalah janji. Janji yang kita tidak pernah tahu bila akan ditunaikan. Perjanjian yang membawa kita kedunia akhir, dan meninggalkan keluarga kita didunia untuk urusan mereka sebagai manusia. Abah pergi mengejut. Dan kejutan ini, mencelikkan mata kepada kami semua. Tentang pelbagai perkara yang kadangkala kita ambil endah tak endah.
Tentang janji kita pada Tuhan, tentang kita sebagai pemimpin dan khalifah didunia, tentang tanggungjawab anak dengan ibu bapa. Tentang banyak perkara.

Sekali lagi, saya memohon, jika ada yang membaca ini, mengenali Arwah Yang Ahmad bin Mat Din, andai ada arwah terkasar bahasa, tersilap kata, saya mewakili arwah, mohon dimaafkan segala salah silapnya. Jika ada makan minum yang terlebih kurang, mohon dihalalkan segalanya.

Semoga arwah Yang Ahmad bin Mat Din, suami kepada Ainon Mohamed Yusop, bapa kepada Kartina, Zarina, Athirah, Zainol Abidin, dan Zainal Arifin, bapa mertua kepada Tarmize dan Herman, atuk kepada NurKhalisyah Amani akan dicucuri rahmat ke atas roh beliau dan diletakkan bersama-sama orang yang beriman.

Al-Fatihah...

No comments: