Saturday, March 25, 2006

Selftalk: Surat terbuka untuk MEA


Assalamualaikum warahmatullah...

Ke hadapan adikku, Mohd Erwan Affendi (MEA) semoga berada dalam keadaan sihat walafiat hendaknya.
Hari ini, 24hb Mac - adalah satu tarikh yang istimewa untuk kamu. 16 tahun yang lalu, kamu telah dilahirkan ke dunia ini, hadir dalam keluarga kita, setelah sembilan bulan sepuluh hari emak mengandungkan kamu. Dan hari ini, apabila melangkah ke alam 16 tahun, bermakna telah 5840 hari kamu bersama keluarga kita.
Pada usia 16 tahun ini, angah fikir sewajarnya kamu berfikiran lebih dewasa berbanding 15 tahun yang lalu. Malah kamu telah sepatutnya boleh berfikir tentang diri kamu, dan masa hadapan yang kamu pilih.

Tetapi...
hari ini, angah masih lagi tertanya-tanya, apakah kamu sedar bahawa kamu telah berusia 16 tahun?

Bukan tujuan angah menulis ini untuk memaparkan kisah kamu kepada khalayak. Bukan juga tujuan angah ingin meraih simpati si anu atau si polan. Bukan juga untuk mencanang cerita duka yang bermain dalam hati angah sejak hari itu. Cuma, angah ini memberikan peluang kepada diri kamu, mengerti dan memahami bahawa tindak tanduk kamu selama ini telah mengundang sesuatu yang pedih dalam pertalian kita adik beradik. Sewajarnya kamu, apabila telah berusia 16 tahun ini, kamu harus labih memahami erti kematangan, dan erti keluarga dalam hidup kita.

Pagi tadi, semasa angah menelefon kamu dari jauh untuk mengucapkan salam hari lahir, suara kamu begitu bersopan. Angah, dalam waktu yang sedetik itu, berfikir alangkah bagusnya jika kamu telah berubah. Alangkah bagusnya jika wujud keakraban antara kita adik beradik. Tetapi, buat masa ini, angah masih keliru...
Apakah itu kamu, atau kamu hanya bermain kata?
Angah hanya mahukan kamu menjadi seorang lelaki yang lebih baik daripada kamu yang dahulu. Segala janji kamu pada angah: nak berubah perangai, nak pergi kesekolah, nak duduk dirumah dan sebagainya, buktikanlah kepada angah. Telah angah katakan pada kamu, angah akan sentiasa cuba menyokong kamu, tetapi jangan kamu cuba menghilangkan kepercayaan angah kepada kamu. Dulu, kamu katakan pada angah, jika kamu minta sesuatu, kamu tahu kamu tidak akan memperolehinya. Tetapi angah katakan pada kamu, kamu ada kata-kata angah, kamu ada janji angah pada kamu dan kata angah; angah akan cuba dapatkan apa yang kamu minta, dengan syarat kamu MESTI BERUBAH.
Tetapi, rupa2nya angah hanya mendengar janji kosong. Mana surat pindah sekolah yang kamu kata kamu akan ambil? Mana sekolah yang kamu kata kamu akan pergi? Mana semua yang kamu janji pada angah? Kamu menyebabkan angah ternanti-nanti, dan angah sendiri tidak pasti bila janji kamu akan ditepati.

Jadi bagaimana angah boleh mengotakan pula janji angah pada kamu?

Mohd Erwan Affendi,
Walau apa pun alasan kamu untuk menjadi diri kamu yang sekarang, angah rasa kamu telah tersalah jalan. Tak guna angah menjerit teriak pada kamu. Apatah lagi berpukul hempuk. Kamu anak bongsu dalam keluarga. Kamu sepatutnya menjadi adik yang paling selesa. Tetapi... kamu memilih untuk menjauhkan diri sendiri daripada adik beradik kamu. Kamu tidak bercakap dengan abang-abang kamu, kamu bermasam muka dengan kakak-kakak kamu. Pilihan itu adalah pilihan kamu. Jika kami tegur, dan marahkan kamu, apakah kami tidak berhak membimbing adik kami? Apakah kami salah bila kami cuba membetulkan kamu? Kamu membentak dan membantah. Kamu fikir kamu betul dan kami salah. Kamu fikir kami tidak berhak berkata apa kepada kamu. Kamu marah. Kami marah. Akhirnya, hubungan kita adik beradik jadi hambar. Tiada warna lagi dalam keluarga. Mungkin bagi kamu tidak apa, tetapi percayalah, ada hati yang merasa duka dengan perangai kamu...ada hati yang tertanya, kenapa kamu jadi begitu, dan ada perasaan yang terguris bila sanggup kamu berbuat begini dan berkata kotor begitu.

Kami hanya mahu kamu berjaya. Tumpukan perhatian pada SPM selepas apa yang berlaku semasa PMR sangat mendukacitakan. Kami mahu kamu ke sekolah, belajar dan jadi insan yang berguna. Sekurang-kurangnya untuk kamu selesa bagi diri kamu sendiri dan bukan orang lain. Apakah kamu fikir untuk 10 tahun lagi, kamu akan terus melakukan kerja yang kamu lakukan sekarang? Bukan angah hina kerja kamu, tetapi ini bukan masanya untuk kamu bekerja. Kamu seharusnya sedar diri dengan keadaan hidup kita sekeluarga hari ini, kamu bukan hidup seperti kami dulu. Kamu tidak pernah makan nasi dan air gula seperti kami dahulu kerana keluarga kita tidak berduit. Tetapi kami tidak kemaruk mencari duit. Kami hanya menumpukan pada pelajaran dan bertekad mengubah kehidupan. Hari ini, sekurang-kurangnya tiga abang-abang dan kakak kamu telah bekerja, dan sekiranya kamu perlukan duit untuk tujuan tertentu, angah rasa tiada seorang pun daripada kami yang keberatan untuk memberikannya. Tetapi kamu yang memilih jalan "permusuhan". Kamu engkar kata kami, kamu tidak dengar kata kami. Jadi bila ada berasa hati, inilah keadaan keluarga kita sekarang.

Angah sendiri tidak pasti salah silapnya. Emak semakin tua. Satu hari nanti, bila semua telah belajar diluar, dan bekerja, akhirnya emak akan tinggal seorang dirumah. Kamu yang diharapkan berada dirumah sekurang-kurangnya untuk dua tahun lagi, sering pula tak balik rumah. Tidur rumah kawan, kata kamu. Kawan yang mana satu, seorang pun tak tahu. Akhirnya, emak tidur seorang dirumah. Kalau emak perlukan apa-apa dirumah? Entah, hati kecik angah sangat sayu bila mengenangkan perkara ini.

Mohd Erwan Affendi,
Akhir kata, angah doakan kamu segera berubah. Jadilah lelaki yang lebih bertanggungjawab. Tugas anak lelaki tidak berakhir sampai bila-bila. Ayah dan emak tetap menjadi tanggungjawab kita. Apatah lagi jika kamu telah cukup dewasa untuk membina keluarga kamu sendiri, kamu perlu bertanggungjawab untuk orang lain pula. Hingga hari ini, walaupun telah banyak kali hati angah terluka kerana janji kamu, angah masih cuba mencantumkan sepihan-serpihan itu dan memegang hati ini seolah-olah tiada luka. Angah masih percaya pada kamu, dan angah harap kamu tidak selamanya akan menyebabkan luka itu terus luka.

Sekian.

Angah.

Bandar Baru Bangi, Selangor

3 comments:

Anonymous said...

kenapa tak hantar surat ni pada MEA?
mungkin dia akan faham...

Anonymous said...

sorry.. ni takde kena ngena ngan adik u or surat u..
chip ajak FM gubra opening nt 6/4... ada berani? klu ok.. sms or ring me... i'll book for y'all...

Anonymous said...

OK Nina..
keterujaan ini akan diterjemahkan kepada sms nanti.