Monday, February 06, 2006
selftalk: pernyataan CINTA
Cinta.
Hadir sahaja bulan Februari, saban tahun maka antara topik hangat yang bakal menjadi perbualan adalah CINTA. Kerana apa? Kerana minda kita telah disogokkan tentang kehebatan Hari Valentine yang tarikhnya jatuh pada 14 haribulan setiap Februari. Biarpun persoalan tentang harga bunga yang melambung tinggi ketika itu pasti akan menjadi salah satu perkara yang akan kita risaukan, namun rata-rata kehangatan cinta adalah melebihi daripada perkara itu. Harga mungkin tidak menjadi persoalan bagi sesetengah daripada kita. Pada bulan ini, kuasa cinta mengatasi segala-galanya. Disini sana pelbagai promosi sedang dilakukan, baik di majalah, di media massa, di kedai menjual cenderamata, kedai bunga, kedai gambar, restoran malah sekiranya kedai mamak juga berpeluang untuk melakukan promosinya, maka pastilah akan ada “set untuk pasangan bercinta” yang sedia ditempah di kedai mamak tersebut. Mungkin akan ada “Set Roti Nan Cheese Cinta Tandoori” agaknya, yang dihidang dengan “Teh Tarik Kasih”.
Cinta adalah satu perasaan yang murni. Hadir dalam hati antara dua insan. Malah cinta adalah antara elemen awal dalam penciptaan manusia. Lahirnya Hawa memberikan Adam satu perasaan yang istimewa, dan melengkapkan fitrah kejadiannya. Kemudian lahirlah pula kisah cinta yan berabad lamanya menjadi perumpamaan kepada kuasa cinta bagi setiap pasangan yang merasai nikmat yang satu ini. Mana ada yang tidak tahu tentang kisah Romeo dan Juliet yang rela mati kerana cinta, Shah Jahan dan Mumtaz yang mengabdikan cinta dengan monument indah bernama Taj Mahal, atau kisah cinta agung Laksamana Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang. Mungkin dimasa ini, kisah Rangga dan Cinta barangkali cukup cocok untuk menggambar bahawa rasa yang satu ini punya kuasa yang luar biasa.
Biarpun tidak semua berjaya dengan kisah cinta pertama mereka, namun cinta pertama adalah sesuatu yang istimewa. Malah bagi sesetengah daripada kita, kisah cinta pertama adalah sangat peribadi. Biar bagaimana lahirnya cinta pertama itu, seperti cinta yang bermula dengan pandang pertama, atau bermulanya cinta itu dengan pergaduhan besar, atau pun bermula dengan sekadar kawan, namun cinta pertama adalah detik pertama hati ini terasa cukup lengkap. Tolak tepi dengan istilah cinta monyet, yang mungkin lahir daripada perangai mengada-ngada dan tersengih-sengih ketika berdepan dengan orang yang disukai, cinta pertama adalah perasaan yan cukup indah. Bagi yang berjaya dengan cinta pertama mereka, tahniah. Anda berjaya mengangkat martabat cinta anda ke satu tahap yang sangat istimewa. Namun bagi yang tidak berjaya dengan cinta pertama anda, percayalah bahawa anda akan menemui cinta sejati satu hari nanti.
Usah salahkan diri anda jika anda gagal bercinta. Biar anda gagal sekali,mahupun kedua kali, atau kesekian kalinya, anda harus faham bahawa sebenarnya, bukan anda yang mencari cinta, tetapi cinta yang menentukan dalam hati yang mana ia akan dikongsi dan bersemadi. Cinta daripada hati anda akan melebarkan sayapnya dan kemudian akan singgah dan tetap dihati yang serasi dengan nya. Apa yang anda perlu sedar, pelajarilah sesuatu daripada kegagalan cinta itu. Percayalah, jika anda berjaya mempelajari sesuatu, suatu hari nanti, apabila sekali lagi cinta itu hadir, mungkin kali ini dia akan terus tetap disitu. Daripada pengajaran itu, anda siramilah cinta itu. Jika anda rasakan anda telah melakukan kesilapan yang membuatkan cinta lama anda tidak kekal, usah ulangi kesilapan itu lagi. Namun bawalah segala yang baik daripada cinta lalu, dan mekarkanlah ia bersama pasangan baru anda. Pasti cinta baru anda akan seterusnya diangkat kepada tahap yang istimewa suatu hari nanti.
Bagi pasagan yang sudah tetap cintanya, bajailah cinta anda. Cinta yang anda rasai bersama teman anda ketika ini, sesungguhnya perlu sentiasa dibajai dengan kasih sayang. Kasih sayang yang bukan hanya lahir pada bulan Februari, tetapi pada setiap bulan, membawa ke tahun dan seterusnya sehingga salah seorang daripada kita menemui Tuhannya. Malah, jika telah ditakdirkan kita hidup bersama, biarlah juga kita mati bersama jika takdir itu boleh kita minta. Cinta sentiasa mahu diucapkan kasih sayangnya. Cinta mahu sentiasa diberikan keyakinan bahawa cinta itu ada dan tetap dihati. Cinta mahu dibelai dengan kata-kata, dan sesekali secara material pasti lebih istimewa. Cinta itu kan pelik?
Jadi, lahirkanlah cinta anda. Kepada pasangan anda, teman anda, ibu bapa anda, adik beradik anda, malah sesiapa sekalipun. Biar mereka tahu, cinta mereka anda balas. Cinta mereka subur dihati anda. Cinta mereka istimewa untuk anda. Usah tunggu sehingga 14 haribulan, lakukan sekarang. Malah teruskan hingga bila-bila. Apa salahnya kita meneruskan apa yang mula-mula dilakukan oleh moyang kita, Adam dan Hawa yang meraikan cinta mereka sehingga terciptanya kita hari ini. Sebarkan cinta yang membawa mesej damai untuk dunia.
Cintailah Cinta.
note: photos are taken by crabster (thank you,dear)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
ini adalah percubaan menulis komen setelah Nina beritahu, comment tak boleh ditinggalkan..
harap2 dah boleh...
Anyway, thanks Nina!
Cubaan...
Post a Comment