Wednesday, April 06, 2011

Kerana Dia…

Ayah aku seorang askar. Soldadu. Ayah berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia di awal tahun 70-an. Pada tahun 2000, ayah menamatkan perkhidmatan, dengan pangkat Mejar.

Ayah bermula daripada bawah, daripada prebet cabuk kata emak. Sepanjang perkhidmatannya, ayah telah pergi ke merata tempat. Mungkin seluruh hutan di Malaysia ini, telah dijelajahinya bersama platun dan ketumbukan tentera kerajaan Malaysia. Daripada mencari sisa baki komunis, hinggalah menyelesaikan permasalahan di hutan yang membabitkan keselamatan negara.

Ayah pastinya pernah berada dibarisan hadapan peperangan ketika dia adalah anggota bawahan tentera. Meskipun berada di barisan perancangan di bawah khemah tentera ketika berpangkat pegawai, itu bukan bermakna dia tidak terdedah dengan bahaya peperangan. Bayangkan bahaya yang bersimpang siur dalam bentuk peluru dan mortar, kecelakaan dalam bentuk jerangkap samar, dan kemusnahan akibat bedilan tank yang menhembuskan peluru.

Ayah pernah melalui kesemua bahaya ini, meskipun bukanlah sepanjang perkhidmatannya itu dia kebal dengan kecederaan. Ayah juga pernah cedera, cuma tidaklah sehingga kehilangan mana-mana anggota badannya. Selama dalam perkhidmatan.

Namun, ayah tewas pada dia…

Ayah terpaksa membenarkan ibu jari kakinya terpisah daripada anggota kakinya, kerana dia…

Ayah berjaya menyelamatkan diri daripada jerangkap samar musuh negara, tetapi tidak dengan perangkap dia…

Begitulah. Ayah aku seorang askar. Soldadu.

Ibu jari kakinya dipotong kerana diabetes.

Image_28

No comments: