Saturday, April 30, 2011

Mobiliti Proksi Jiwa

Aku penat dengan perasaan yang disimpan-simpan. Aku juga penat dengan perangai mereka yang sering kali memperlahankan rentak aku. Aku capek dengan kesemua perkara yang aku mampu lakukan perubahan, tetapi perubahan itu perlahan sama ada kerana sebab pertama, atau sebab kedua di atas.

Aku mahu cari jalan keluar.

Aku mahu pembaharuan.

Aku mahu hijrah!

Itu.

Wednesday, April 06, 2011

Petang itu, saya berperasaan

Petang itu, angin bertiup agak kuat. Di jalan tar, dedaun kering bergulung-gulung di sapa angin yang agak ganas. Debu kering bertompok di jalanan yang dipanaskan oleh sang matahari tengah hari tadi turut bersama-sama memeriahkan jalan yang sibuk dengan susur trafik.

Daripada atas langit cerah, bersama-sama desiran angin, kepulan-kepulan halus putih berterbangan. Lagak salji. Terbang bersama angin. Jatuh ke atas jalan raya berdebu, dan rona putihnya tercemar dengan oren jingga tanah.

Bukan salji, tetapi kekabu putih daripada pokok tinggi di tepi jalan.

Ada rasa damai.

Kamu pernah?

Kerana Dia…

Ayah aku seorang askar. Soldadu. Ayah berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia di awal tahun 70-an. Pada tahun 2000, ayah menamatkan perkhidmatan, dengan pangkat Mejar.

Ayah bermula daripada bawah, daripada prebet cabuk kata emak. Sepanjang perkhidmatannya, ayah telah pergi ke merata tempat. Mungkin seluruh hutan di Malaysia ini, telah dijelajahinya bersama platun dan ketumbukan tentera kerajaan Malaysia. Daripada mencari sisa baki komunis, hinggalah menyelesaikan permasalahan di hutan yang membabitkan keselamatan negara.

Ayah pastinya pernah berada dibarisan hadapan peperangan ketika dia adalah anggota bawahan tentera. Meskipun berada di barisan perancangan di bawah khemah tentera ketika berpangkat pegawai, itu bukan bermakna dia tidak terdedah dengan bahaya peperangan. Bayangkan bahaya yang bersimpang siur dalam bentuk peluru dan mortar, kecelakaan dalam bentuk jerangkap samar, dan kemusnahan akibat bedilan tank yang menhembuskan peluru.

Ayah pernah melalui kesemua bahaya ini, meskipun bukanlah sepanjang perkhidmatannya itu dia kebal dengan kecederaan. Ayah juga pernah cedera, cuma tidaklah sehingga kehilangan mana-mana anggota badannya. Selama dalam perkhidmatan.

Namun, ayah tewas pada dia…

Ayah terpaksa membenarkan ibu jari kakinya terpisah daripada anggota kakinya, kerana dia…

Ayah berjaya menyelamatkan diri daripada jerangkap samar musuh negara, tetapi tidak dengan perangkap dia…

Begitulah. Ayah aku seorang askar. Soldadu.

Ibu jari kakinya dipotong kerana diabetes.

Image_28