Tuesday, May 29, 2007

Komik

Sejak awal remaja lagi, saya sudah gemarkan komik. Malah disekolah asrama lagi, sebahagian duit saku saya peruntukkan untuk membeli majalah dan komik. Pada waktu itu, UJANG yang diterbitkan oleh Kharisma Publication (yang kemudiannya bertukar penerbitannya kepada MOY sehingga sekarang) adalah antara majalah kartun yang menjadi koleksi saya. Kalau tak silap, keluaran UJANG #1 masih lagi dalam simpanan. Pada waktu itu, antara kartunis yang menjadi "idola" dan menyebabkan saya terus membeli majalah itu, pastilah kartunis Aie yang famous dengan Blues Untuk Aku, Abe(karya bersama Ujang) dan Aku hidup dalam Blues(karya bersama Toyon). "Kartini" oleh Tembakau juga antara karya agung yang menjadi ikutan saya semasa di sekolah rendah. Pada waktu tersebut, selain lukisan mereka yang sangat menyerlah, sebenarnya pengaruh kuat yang ada pada setiap karya mereka (merujuk pada hasil Aie, Ujang dan Tembakau) adalah gaya bahasa yang mereka gunakan yang menjadi tunjang penceritaan. Saya menjadi pembeli tetap majalah Ujang yang kemudian dibeli bersama dengan majalah Apo?, kerana ingin mengikuti hasil karya dan kreatiiviti penulis/pelukis ini tadi. Sehinggalah satu masa, akibat perkara tertentu Aie, Ujang dan Tembakau "hilang" daripada industri komik Malaysia. Dan saya berhenti menbeli majalah Ujang, Apo? atau apa sahaja majalah terbitan MOY. Tiada apa lagi yang dicari dalam majalah kartun itu kerana pelukis idola saya sudah tiada disitu.

Kemudian baru-baru ini Aie keluar dengan produksi sendiri (Aku dan Sesuatu) dan entah kenapa produksi ini juga sering tenggelam timbul. Tapi saya masih percaya pada karya Aie yang satu ini, dan masih menunggu sambungan naskah beliau ini.

Ujang pula kembali bersama Gila-Gila(rasanya lah) selepas mencipta pelbagai genre penerbitan yang lari jauh daripada komik seperti majalah memancing dan juga majalah ala dakwah.

Tembakau pula baru kembali dengan Kartini...Kembali tetapi entahlah, tak seperti dahulu lagi garapan idea nya. Malah mungkin dengan kembalinya Kartini ini, tiada impak besar dalam industri komik Malaysia yang sebenarnya sudah (semakin) besar.

Sekitar tahun 2003 (mungkin), GempakStarz memeriahkan arena komik Malaysia dengan kehadiran komikus yang lahir dengan genre dan idea baru. Idea yang membawa bersama elemen-elemen barat dan timur dalam hasil karya mereka. Tetapi, tulisan saya kali ini adalah untuk bercerita tentang sebuah garapan daripada salah seorang komikus GempakStarz iaitu Slaium.


Utopia High (UH) adalah antara karya Slaium yang bagi saya penuh dengan ideologi dan pemikiran yang sangat memberansangkan. Kalau disusuri penceritaan karya ini yang berlatarbelakangkan kisah pelajar sekolah (daripada sekolah rendah hingga menengah), kisah ini menekankan tentang prinsip hidup, dan prinsip persahabatan yang kuat. Idea yang diselangi dengan beberapa "quote" dan kadangkala lirik lagu, menjadikan bacaan santai ini sangat bermakna.
Mungkin sudah dewasa ini, komik yang bermesej lebih saya gemari berbanding komik sekadar kartun. Mungkin sesetengah berpendapat, komik hanyalah bacaan ringan dan kurang bermanfaat tetapi pada pandangan saya, jika kita memilih komik yang betul ianya sedikit sebanyak membuka hati kita dalam menilai sesuatu perkara. Memetik kata-kata watak dalam UH- Hunting High and Low #21 iaitu PowerBoys:
" Kehidupan adalah seperti berlayar di atas kapal tanpa panduan kompas. Impian merupakan rumah cahaya yang memberikan panduan jalan untuk pulang "
Fikirkan.

No comments: