Saya memulakan hari pertama dalam minggu kedua bulan Februari ini dengan penuh kesedihan. Kesedihan yang masih terasa namun begitu mungkin inilah yang telah lebih dahulu tertulis tentangnya.
Mama** membuat pengubahsuaian rumah di Kampung Pandan. Membuat beberapa bilik baru untuk anak-anak dan menantu. Akibat daripada pengubahsuaian itu, rumah Mama di Kampung Pandan itu memang rompong tidak berpintu. Dinding depan rumah telah dirobohkan dan tiada pintu yang menjadi laluan utama. Dalam erti kata lain, rumah Mama yang belum siap itu dapat dilihat jelas isi rumahnya daripada lorong depan rumah. Malah orang yang lalu lalang memang tak lepas memandang rumah itu. Apatah lagi jika ada mata yang sememangnya bersambung dengan ligat akal yang penuh dengan niat jahat.
Malam Ahad yang lalu, saya dan Eina balik ke Kampung Pandan, ke rumah Mama selepas petangnya kami menghadiri majlis sepupu yang melangsungkan perkahwinannya di Shah Alam. Macam kebiasaannya, saya akan menjadi jurufoto tak bertauliah. Banyak jugak gambar yang berjaya di"snap" petang itu. Walaupun cuaca panas, oleh kerana minat, merakamkan gambar ini semacam satu kepuasan bila dapat merakamkan detik-detik bermakna untuk kedua mempelai. Daripada mula berarak hinggalah tangan menyuap santapan raja sehari kemulut pasangan. Segalanya terakam di kamera digital kecil ditangan.
Balik dari Shah Alam, mungkin kerana panas disiangnya, migraine menyerang. Tak banyak perkara dibuat malam itu, hanya berbaring sambil mata menonton ABPBH. Lepas mandi, terus saya ke ruang tamu yang tidak berdinding itu, menghampar tilam dan meletakkan kepala yang sakit berdenyut2. Kamera dan handphone diletakkan diTV, tak jauh daripada tilam tempat berbaring.
Berbaring untuk melelapkan mata, tiba-tiba handphone berbunyi. Isteri mengambil handphone dan memberikan kepada saya yang terlantar ditilam dengan jari memicit kepala. Rupa-rupanya sms daripada kawan yang baru membalas sms yang saya hantar siang tadi. Selepas itu, saya terlelap.
Hinggalah pagi Isnin itu, kira-kira jam 6:15 pagi, terdengar suara Mama bertanyakan tentang handphone nya yang diletakkan berdekatan dengan televisyen, diatas meja tinggi. Dalam terpisat-pisat bangun dan kepala yang masih berat akibat migraine semalam, saya terus menghalakan mata kearah televisyen, tempat saya meletakkan kamera bersama handphone (yang kemudiannya handphone saya letak disisi saya selepas membaca sms). Tak nampak pun casing hitam kamera saya. Kepala masih sakit, tetapi hati terus berdebar-debar. Mana dia kamera nih?
Bangun dan periksa di tepi tv. Sambil mulut berkata, mungkin adik ipar saya telah menyimpannya. Tak ada! Mama pula waktu itu terus menerus mengatakan, rumah dimasuki orang! Rumah dimasuki pencuri!
Biar betul!
Terkocoh-kocoh saya lari keluar rumah untuk melihat kereta. Waktu itu saya tak pasti dimana kunci kereta. Bimbang kalau-kalau kunci juga diambil pencuri. Alhamdulillah, kereta ada ditempat yang diparking. Berlari semula kerumah dan kemudian terduduk tidak percaya.
2 dompet (kepunyaan adik ipar saya, Bidin dan Ipin), 2 handphone (Mama dan Ipin) dan Kamera Casio Exilim EX500 saya yang disayangi telah hilang dicuri!
Rumah Mama dimasuki pencuri!
dan kami semua yang tidur diruang tamu tidak berdinding itu, seorang pun tidak menyedarinya.
Kata Mama, jam 2:00pagi dia baru masuk tidur.
dan jam 6:00pagi kami semua baru sedar, pencuri telah masuk rumah Mama.
Pencuri dah panjat pagar.
Pencuri dah cilok barang berharga.
Kamera yang disayangi sudah tiada.
Gambar perkahwinan sepupu lenyap bersamanya.
Dihari pertama minggu kedua bulan februari ni, saya mulakan dengan kesedihan akibat kehilangan...
**Mama pasti lagi sedih sebab handphone yang hilang tu pemberian arwah abah, dan handphone Ipin pulak adalah handphone yang arwah abah pernah pakai dan diberikan pada Ipin selepas arwah abah beli handphone yang lain.
1 comment:
Sabarlah, semua yang jadi ni mesti ada hikmahnya. nasib baik juga tidak diganggunya penghuni rumah, seperti yang ada di dada akhbar....
kita doakan pencuri itu mendapat cahaya petunjuk dari-Nya
Post a Comment