Tuesday, April 11, 2006

Hiburan: Gubra

Ahad lalu. 9 April 2006. TGV, KLCC. Hall 3, Jam 4.00 petang. Filem Gubra.

Hela nafas menonton Gubra selesai bukan ketika lampu panggung dibuka.
Hela nafas tentang Gubra masih panjang dan masih belum berhenti.

Apa yang dapat disimpulkan;
Gubra menyuntik sesuatu yang baru dan sesuatu yang menuntut anda berfikir selepas me"rasa" filem tersebut.
Orked masih seorang wanita yang sangat menarik.
Seperti Orked dan Jason dalam Sepet ;
karisma Orked dalam Gubra masih terasa ketika dia bersama Arif, malah juga ketika bersama Alan.

Menonton Gubra, bagi saya mencetus banyak rasa dan tanda soal besar diatas kepala
Bukan sesuatu yang negatif.
Ianya...
sigh...

Gubra (bagi saya yang masuk agak lewat,10minit selepas tayangan)..
bermula dengan suasana keintiman Orked dan Arif.
kemudian suasana keluarga yang menghadapi Pak Atan yang"nazak".
Jalan cerita yang terus kepada pertemuan Orked dan Alan (yang menjadi permulaan kisah mereka).
Bila Arif bertemu "client"nya...
keadaan antara mereka menjadi tegang, dan Alan meruntun jiwa Orked dengan surat-surat Jason yang tidak sempat dihantarnya sebelum mati.
Kisah tegang Orked dan Arif menghadapi suasana yang cukup natural ketika berlakunya krisis,
dan membawakan mesej yang cukup jelas:
wanita hari ini menyatakan "there is no room for mistakes dalam perhubungan".
Satu statement yang agak keras, tetapi benar.
Dikisah yang lain,
ada Bilal dan isterinya yang sangat manja-memanjai.
Ada seorang ibu yang punya anak, dan seorang kawan.
Atas masalah hidup, siibu dan temannya menjadi "teman segera" kepada lelaki-lelaki bodoh sebagai pekerjaan mereka.
Timbul pula kisah "Along" yang akhirnya menjadikan kisah Gubra lengkap dengan pelbagai element.

Gubra adalah filem yang bercakap tentang banyak isu.
Isu Bangsa. (tentang perasaan sesuatu bangsa tentang bangsa yang lain)
Isu Negara. (tentang betapa untungnya kamu yang duduk di Malaysia ini)
Isu Masyarakat. (tentang persepsi masyarakat tentang seseorang yang nampak jijik dimata masyarakat)
Isu Khidmat sosial (tentang perkhidmatan awam yang banyak kali mengecewakan orang awam kerana sikap petugas tersebut)
Isu Majmuk (tentang tolong menolong sesama manusia, sesama haiwan)
Isu Keluarga. (tentang kasih sayang anak dan ibubapa, isteri dan suami dan semuanya)

Arghh...
Hati ini meronta lagi untuk menonton filem ini.
Lagipun ini bukannya review.
Ini sesuatu yang mendesak dihati minta dilepaskan.
Ini hanyalah untuk beritahu kepada semua..
pergilah me"RASA" GUBRA.

"kita tiada kuasa untuk mengawal apa yang bakal berlaku dikemudian hari" NB:photos are credited to yasmin ahmad

Saturday, April 08, 2006

Hiburan: FlashMob Kodok

Makluman! Makluman! Berikut adalah makluman untuk semua KoDoks (dan bukan Kodoks):

Tempat: TGV, KLCC
Tarikh: April, 9
Hari: Ahad
Masa: 4:oo petang

Satu FlashMob Fellowship of the Kodok akan berlangsung seperti makluman diatas. FlasMob ini adalah bertujuan untuk "memecahkan" panggung bagi tayangan Gubra (arahan Yasmin Ahmad [Sepet]). Jadi dapatkan tiket wayang anda sebelum kehabisan dan pastikan anda memberikan laungan "webeks" 3kali ketika skrin menayangkan iklan2...heh!

Webeks! Webeks! Webeks!

Lagi info? Klik sini.

Nota: Apa tu Flash mob? Klik sini lak.

Wednesday, April 05, 2006

Selftalk: Bila April

Semalam, 4 April 2006 adalah tarikh lahir seseorang yang (pernah) istimewa dalam hidup saya. Catatan hari ini, merupakan sesuatu yang tertunda sebenarnya. Namun entri ini penting untuk ditulis sebagai tanda penghargaan kepada beliau.

Letakkan initialnya sebagai NM, seorang yang riang dan kadangkala terlalu tidak mengambil kisah tentang sesuatu perkara. Mungkin kerana sifat happy go lucky nya itu, menjadikan dia sebenarnya adalah seorang yang mudah berkawan dengan seseorang yang baru mengenalinya.

Kami berkenalan lewat tahun 1996. Perkenalan singkat yang saya sendiri tidak pernah menjangkakan episod itu akhirnya bercambah menjadi siri chapter (bab) dalam diari hidup saya. Hari itu, dalam tahun 1996 beliau datang bersama anak mak angkat saya ke sekolah saya di Taiping, berbaju oren dan bertudung hitam. Dipendekkan cerita tentang pertemuan yang sangat singkat itu, kami mula berhubung secara surat-menyurat. Pada tahun 1996, membawa kepada tahun 1997 dan sehinggalah akhir SPM pada tahun itu, kami “berkawan” di atas kertas.

Dalam proses mengenali seseorang, coret kata dan bait perkataan amat memainkan peranan dalam saya mengenali kawan yang seorang ini. Kalau dikenangkan, sesuatu yang istimewa mengenai surat beliau adalah gaya penulisannya yang seperti orang berdebat atau berhujah di arena perbahasan. Dengan permulaan surat yang biasanya dimulai dengan selawat dan salam keatas junjungan Rasul dan berakhir dengan illa liqqah’, saya sebenarnya sangat berbangga dengan penullisan sebegitu. Sementelah beliau berasal daripada sebuah sekolah agama di Perak, bahasa arab atau tulisan jawinya agak baik dan kemas sekali tulisannya.

Lama kami hanya berkawan, kenal mengenali dan saling bertukar cerita tentang diri masing-masing. Kadang-kadang bertukar masalah. Maklumlah pada waktu itu, zaman bermulanya cabaran remaja lebih terasa apabila SPM tamat.

Hinggalah, kisah persahabatan kami tiba-tiba berubah bila saya berhasrat untuk pergi ke satu peringkat yang lain dalam persahabatan kami. Ya, saya telah menyampaikan hasrat saya dalam sekeping surat berwarna kuning, yang saya ingin berkasih dengannya. Pada waktu itu – pada tahun 1999, saya baru 10 hari berada di universiti. Surat yang dihantarkan kepadanya bersama harapan akhirnya terbalas selepas kira-kira 2 minggu menunggu. Dia membalas kasih saya.

Dan dalam keseluruhan tahun itu dan tahun-tahun berikutnya, dunia universiti sangat indah dan mencabar. Kami telah secara rasmi menjadi pasangan kekasih, dan percintaan jarak jauh kami telah di upgrade kepada email, selain telefon bimbit yang pada waktu itu menggunakan talian DiGi. Surat masih menjadi perantara terbaik, kerana perhunbungan begitu lebih murah.

Tiga tahun berlalu di universiti dengan pelbagai perkara yang berlaku. Dalam tempoh itu, percintaan jarak jauh itu dapat bertahan dengan baik sekali. Sepanjang ingatan saya, kami tidak pernah bergaduh, hanya cuma sekali sahaja dalam tempoh 3 tahun itu. Itupun, tak jadi nak bergaduh. Apa formulanya? Saya sendiri tak tahu.Dalam pelbagai cabaran yang saya lalui dan beliau hadapi di universitinya, di utara tanah air, kami sama-sama berjaya dengan pengajian masing-masing.

Kemudian episod baru bermula dan pertalian kami berubah dalam banyak perkara. Bila dia berpindah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki, saya pula bekerja di universiti tempat saya belajar. Rupa-rupanya, percintaan jarak jauh kami bakal melalui suasana yang berbeza di kota ini.

Kami mula kenal apa erti pergaduhan, perasaan cemburu agak berbeza berbanding semasa di universiti dahulu, saya tiba-tiba rasa beliau seperti bukan NM yang saya kenali, saya mula marah-marah dan menjadi orang yang tidak understanding. Semasa ini, tiada lagi surat antara kami kerana kami boleh berjumpa.

Untuk menulis perkara yang berlaku dalam tempoh tahun 2002 hingga tahun 2004, sebenarnya terlalu banyak perkara yang berlaku kepada kaami. Bukan sahaja percintaan malah persahabatan kami sedikit sebanyak mulai tergugat. Saya merumuskan, ada juga kesilapan yang saya tak bisa menerima. Saya menjadi seorang yang tidak mahu menerima perubahan diri beliau, tidak mahu menjadi pendengar dan lebih mementingkan diri. Itulah yang saya rasa berlaku kepada diri saya selepas tahun 2002. Perubahan demi perubahan yang berlaku, sama ada drastik atau perlahan terus menguji percintaan kami, sekali gus meletakkan persahabatn kami ke satu tahap yang mengecewakan.

Masing-masing berubah. Sehinggalah berakhirnya percintaan kami yang dipupuk daripada perhubungan jarak jauh pada tahun 1999 dan berhenti pada tahun 2004.

Tempoh sukar bagi kedua-duanya selepas itu. Penuh dengan tangis dan air mata. Rasa kesal dan bebal di hati. Perjalanan dalam bas selepas pertemuan di Pudu raya itu sangat sukar diluahkan, tetapi...begitulah berakhirnya percintaan kami.

Setelah satu tempoh sukar itu, saya sebenarnya masih menghargai persahabatan antara kami. Rupa-rupanya kami masih tabah untuk terus berkawan selepas perpisahan itu. Sebenarnya sukar untuk berkawan waktu itu, kerana memori lama masih melekat dikepala. Namun mungkin keikhlasan yang sama-sama kami semai pada tahun 1996, menjadi elemen penting kenapa kami boleh berkawan semula selepas episod sedih itu. Pada waktu itu, dia telah memperolehi keadaan yang lebih baik berbanding semasa mula-mula datang ke Kuala Lumpur. Dia telah bekerja di perkhidmatan awam. Selepas tempoh perpisahan kami itu, saya melihatnya sebagai seorang yang tabah. Walau kata dendam kadangkala keluar daripadanya, tetapi hati tulusnya adalah seseatu yang sukar saya temui pada orang lain.

Agak lama kami berkawan semula sebelum pada satu petang dalam bulan sepuluh, saya menerima sekeping email yang menjadi penutup kepada episod kisah saya dan NM. Sekeping email yang memohonsupaya saya berhenti menjadi seorang kawan. Sekeping email yang meminta saya mengganggap kisah tahun 1996 hingga 2005 sebagai mimpi. Sekeping email yang memutuskan sebuah persahabatan. Sekeping email yang menerangkan kepada saya tentang hati NM telah kembali dimiliki oleh seseorang, maka wajarlah persahabatan ini diletakkan tanda nokhtahnya. Sekeping email yang meminta saya tidak lagi menghubunginya. Lebih menguatkan permintaan beliau, nombor telefon bimbitnya juga telah tidak lagi digunakan sejak hari itu.

Dan hari ini, NM menyambut hari lahirnya yang ke 26. Kalau tidak kerana pada satu hari, selepas kira-kira 6 bulan tanpa khabar berita, beliau tiba-tiba menghantar sms kepada saya atas tujuan meminta gambar graduasinya yang masih dalam simpanan saya, pastilah semalam saya tidak bisa menghantarnya sekeping sms yang berbunyi; “Awak...Happy birthday…”.

NM,
Semoga awak sentiasa berbahagia. Doa seorang kawan ini masih ada untuk awak, kerana awak adalah seorang kawan yang telah menjadikan saya seperti saya hari ini. Selamat hari lahir...



"ada peraturan persahabatan, sekali menghulur tangan pantang mengambilnya kembali..."

Mohabattein