Showing posts with label kehidupan. Show all posts
Showing posts with label kehidupan. Show all posts

Friday, February 22, 2008

Kenangan di MRSM - part II


Sambung sikit lagi, kenangan semasa aku di tingkatan 1 hingga tingkatan 3, di Maktab Rendah Sains MARA Terendak, Melaka. (Dulu dapat masuk MRSM rasa bangga jugak, sebab MRSM tak banyak macam sekarang.)

19. Hostel lelaki ada 6 (Blok A-F). Hostel perempuan, tak ingat. Yang aku tahu, ada blok lelaki mengamalkan sistem "pangkat" untuk penghuni-penghuni blok tersebut. Pangkat ni berdasarkan kamu di tingkatan berapa. Tak ingat sangat tahap pangkat ni, tapi yang pasti F1 adalah askar (tahap prebet jer) dan F5 adalah Mafia. Untuk form lain, ada pangkat as ninja kalau tak silap. Siap ada baju blok yang tertulis nama kamu sebagai golongan (berpangkat) apa.

20. Masih pasal hostel. Dalam satu tahun, ada satu masa homeroom akan buat lawatan sambil belajar ke hostel.Lelaki boleh pergi hostel perempuan, vice versa.Tapi dengan cikgu homeroom lah. Masa ni, boleh tengoklah betapa kemas (kononnya) hostel perempuan dan betapa bersihnya hostel lelaki (ni fakta.) Dan boleh juga tengok bendasing (baca: pakaian dalam wanita) yang tiada di hostel lelaki. Huhu.

21. Ada minggu bahasa inter-MRSM. Jadi boleh pergi melawat MRSM lain, kalau masuk bahagian la. Aku wakil MRSM Terendak dalam bahas bahasa melayu. Dapat pergi MRSM Kuala Kelawang.Jauh ke pedalaman!

22. Cikgu kat sini best.Paling best english teacher aku. Puan Hazalinda. Alamak..Teringat pulak kat cikgu ni. Cikgu paling bergaya kat maktab aku. Cikgu ni buat aku tak stress masa english subject. boleh tengok movie (paling ingat: The Last of the Mohicans), buat corelspeaking, tulis surat kat penpal luar negara. Tapi cikgu paling aku respect adalah cikgu sains aku, Cikgu Satari dan Puan Wan Ainizah. Aku percaya sebab mereka aku jadi pelajar yang baik. Tapi, ustaz bahasa arab aku adalah cikgu yang aku hormati sebab aku kagum melihat dia punya semangat mengajar bahasa arab. Aku mengaku, aku lemah subjek ni. Tapi, kalau cakap pasal Ustaz Bakar ni, aku akan ingat satu peristiwa apabila dia masuk kelas dan terus bercakap arab, walaupun kami terpinga-pinga tak faham. Sepanjang 45min. Tayib..tayib..na'am.

23. Kelas kat MRSM ada 25 pelajar per kelas. Jadi tumpuan cikgu2 pada kami lebih fokus berbanding jika ramai sangat pelajar. Dan kelas kecik buat aku lebih alert.

24. Di hostel, kalau ada roll-call, kena beratur/duduk dalam barisan kat tengah-tengah koridor. Roll-call ni untuk bagi tazkirah dan "hadiah" untuk kesalahan yang dibuat oleh junior. Cara panggil roll-call adalah "Rokol..rokol.." "Rokol..rokol" sampai semua orang keluar bilik dan duduk/diri di koridor.Dan ditumbuk,atau ditampar jika ada kesalahan.Bengong!

25. Hari ahad ada spot check, lepas PT kat padang. Katil kena cekang. Baling duit syiling mesti melambung. Kalau tak, cuci baju senior yang direndam 5hari (dari Selasa sampai Sabtu).

26. Pergi prep kena tuck in baju. Ini bagi memastikan ilmu kita kekal (terus tuck in) didalam otak (yalah..).

27. Pasal tuck in lagi. Masa PJ, atau sukan petang-petang, perempuan tak boleh tuck in baju sukan. Dan lelaki masih kena tuck in. Tapi ada gak perempuan yang tetap tuck in. Tak boleh tuck in untuk perempuan sebab nanti budak lelaki tengok... ehem.

28. Sesetengah junior beruntung dapat nama gelaran yang diberikan oleh senior. Kalau nama tu diturunkan dari generasi ke generasi, lagi power (Macam nama Poken - sejenis minyak rambut dalam tin berbentuk oval.Mungkin masih boleh ditemui di kedai rambut India). Bukan senang nak dapat nama macam tu. Dan kalau dapat nama ni, it's an honour. Ada jugak nama yang dicipta oleh senior dan diberikan masa orientasi. Antara nama dalam batch aku; Emon (Doraemon-Najib), Slipt (Zaiham), Prop (Azrai), Viken (aku tak ingat nama betul, nilah masalah yang boleh terjadi), PAIM (hafiz) etc. Tapi ada jugak nama gelaran yang batch kita sendiri yang bagi. Macam aku...dapat nama gelaran dan adik beradik 2 orang (berkongsi gelaran) daripada batch sendiri. Tak boleh bagi tahu.Rahsia. :)

29. Rumah sukan kami adalah nama-nama sultan Melaka, Mahmud (Biru); Muzaffar (Merah); Alauddin (Hijau); Mansur (Kuning). Eh, mansur biru ke kuning..?Aku...Aaaallaauuudinnnn!Clap!Clap! Clap!Clap!

30. Dan akhir sekali, aku menjalani awal remaja aku di MRSM Terendak.Maka banyaklah kenangan-kenangan sebagai budak lelaki baru akil baligh, dan baru nak kenal alam dewasa. Antara yang aku tak boleh lupa ialah masa aku kemas stor, aku jumpa satu bantal yang berlukiskan gambar bahagian tertentu tubuh perempuan dan banyak peta-peta pelik pada lubang yang dibuat dibantal tersebut. Emh...(Banyak lagi, boleh ke cerita? Atau mungkin cerita di entri lain yang bukan dibawah title kenangan MRSM.)

Wahai putera puteri bangsaku
Ayuh segera menuju
Mengikut gerak langkah maju
Bersatu mencari ilmu
Di zaman sains dan teknologi
Negara perlukan jasamu
Jangan rasa malas lagi
Bersama memegang teraju

Di Maktab Rendah Sains MARA
Tuntut ilmu jangan jemu
Ikrar taat setia pada guru
Berdisiplin selalu

Hari ini hari mulanya
Hari esoknya berjaya
Tingkatkan segala yang ada
Ke kuliah kita segera

Terima kasih MRSM Terendak.

0898-1, Eridanus B (1992-1995)

Wednesday, February 13, 2008

Kenangan di MRSM - part 1


Singgah blog Lynn tadi, dan terpengaruh dengan satu entri tentang MRSM. Sebuah tempat yang saaanggaaatt dekat di hatiku. Ada yang hampir sama, dan ada la sikit-sikit berbeza.Inilah kenangan ku...di MRSM.


Part 1- Di MRSM Terendak (1992-1995)


1. Pertama kali dengar perkataan homeroom (sesetengah MRSM panggil "Keluarga Pelajar"). Aku di berikan homeroom "Eridanus" (Sebut: Air-ree-day-nes; Wikipedia: a southern constellation; a river in Greek mythology, associated by Herodotus with the Po). Jadi, mula-mula dengar nama-nama homeroom ni, pelik la jugak. Ikut abjad A sampai G. Andromeda, Beetleguese, Casiopetta, Draco, Eridanus, (F)Phoenix dan Gynamide. Oleh kerana baru pertama kali diperkenalkan dengan nama pelik ni, tak terkejut kalau dengar Phoenix disebut Pee Oo Nik.


2. Diperkenalkan dengan abang-abang BWP,LDP dan PRS (akhirnya aku terlibat secara aktif dalam PRS).


3. WAHI (pengganti Milo) memang sesuatu yang tidak mungkin dilupakan.


4. Kat MRSM Terendak, DS kami dipanggil Teres Teratai. Kenapa? Ntah. Heh. Jadi, 6kali makan setiap hari, kami akan ke teres yang banyak beruk. Pada hari Isnin, BWP dan beberapa LDP dapat makan kat meja khas. Terletak kat platform khas yang tinggi sikit daripada lantai Teres. Makan pun bukan dalam tray biru.


5. Ikan jaket, ikan paling popular (aku memang dah tak panggil ikan cencaru, atau ikan mata uji rashid dah spesis ikan ni). Sardine roll paling meloyakan, kalau perah boleh keluar minyak. Sampai sekarang tak suka sardine roll. Loya!


6. Masa bulan puasa, homeroom di galakkan menghias meja mengikut kreativiti, berdasarkan makanan yang disediakan.Tak ingat lak, apa hadiahnya. Apa yer Erik?


7. Ada satu masa, aku ngan kengkawan masuk satu program kebudayaan. Main caklempong. Ada satu ustaz tu sudah mengamuk. Habis kami kena bambu ngan dia masa balik waktu maghrib. Turun-turun daripada bas jer,dia dah tunggu.


8. Ada orang kata, sebab kami main caklempong dan buat tarian, ada "sesuatu" mengamuk kat surau kami yang terletak kat tengah-tengah maktab.


9. Tiap kali nak balik MRSM, daripada kampung, aku cakap cakap "Nak balik Maktab".Hehe, baru 13tahun dah masuk maktab. Masa sekolah dulu, selalu ada cikgu maktab (perguruan) datang sekolah buat praktikal.


10. Jumpa kawan yang sampai sekarang aku hargai. Terima kasih Erik, Alfian dan Sham atas kenangan terindah. Tak dilupa kawan-kawan lain yang jadikan awal remaja aku, menarik; Ajoey, Badrul, Nik Zulkifli, Homeroomates, Budak-budak 201/301 etc.


11. Zaman 1992-1993, zaman 4u2c, fiona,CD sangkut kat leher. Zaman GQ. Seluar kaki 22". Zaman GNR untuk senior, kalau pandai main gitar tu memang jadi famous lah. Untuk aku, zaman KRU yang baru balik daripada US. Ni pengaruh Abang roomate aku: Azham Farid bin Roslan. Huh,memori beb.


12. Zaman reformasi. Budak-budak tahun monyet, rebelious. Dan penuh setiakawan yang aku percaya, masih tulen ketika itu. Kalau tak mana mungkin, ada yang sanggup memperjudikan masa depan (PMR, ketika itu) bila Cikgu J*m dan Ustaz Wah*b serta Cikgu K*mil menjadi saksi semangat batch 92/95. Kesan daripada reformasi malam itu mungkin juga benar, bila cikgu tak redha apa yang diajar, walaupun kita tak bersalah, ada tempiasnya.


13. Aku rasa duduk maktab aku jadi seseorang yang lebih beramal daripada sekarang. Walaupun terpaksa bangun Qiayamullai, dan tidur diatas sejadah selepas sujud rakaat pertama dan bangun bila Qiamullai dah habis, aku still rasa aku lebih banyak masa untuk ibadah dulu.


14. Time merasa (perasan) cinta monyet. dan jumpa kawan yang betul-betul macam monyet. Monyet betul la ko Nik.Hahaha. Takderlah. Peace!


15. Zaman ni juga zaman JiFat, zaman NiFeng, zaman Raja Rimba. Dan bagi aku, zaman Ujang (yang original). Setiap kali outing dan balik daripada outing, mesti ada member atau senior tunggu turn nak baca komik (tapi senior mana main tunggu-tunggu turn ni). Siap ada yang buat sewaan komik. (Dan sewaan Gameboy juga, sila baca seterusnya).


16. Banyak cara nak cari duit lebih. Beli maggi sekotak, jual kat budak-budak RM0.50 satu. Boleh untung besar. Atau kalau ada Gameboy, sewakan sejam RM2.00. Atau beli coklat, hias cantik-cantik, buat untuk dedication service. Epal pun boleh. Balut, dan letak kad. Hujung minggu, boleh makan epal kalau admirer hantar. Epal yang ranggup sikit daripada Teres punya.


17. Fly daripada maktab, aku tak buat. Tapi ada yang pernah fly. Sepatutnya susah pasal MRSM Terendak ni dalam kem askar.


18. Kena "starlite" dan buat "helicopter". Deraan fizikal senior kat junior untuk pelbagai kesalahan (yang bukan kesalahan pun kadang-kadang tu). Aku tak pernah kena dua-dua nih. Eh, macam pernah kena starlite, tapi perlahan jer. Ashraf kot nama brader yang starlte aku tu. Tapi senior memang suka ragging. Pernah aku dengar, ada yang kena ikat tali pada anu dan sangkut satu lagi hujung tali kat kipas. Pastu pasang kipas tu. Tapi itu aku dengar jer. Tak tahu betul ke tidak. Macam aku pernah dengar, ada kakak tu guna tabung uji untuk tujuan yang "salah". Ntah betul ntah tidak.


Itu baru sikit. 3tahun di MRSM Terendak, banyak kenangan ku. Banyak perkara yang menjadikan aku seperti aku hari ini. Nanti sambung lagi next time, boleh?

Monday, February 11, 2008

Selepas 3 tahun berlalu...


3 tahun berlalu (Tahun Baru Masihi, Awal Muharram dan Tahun Baru Cina)..
Maaf, untuk kawan yang sekian kali hadir ke blog ini, tanpa ada update.
Untuk yang menerima SMS-SMS daripada gua, yang gua mintak tolong sedikit sebanyak, itulah update kisah jurnal gua ni untuk lu orang. Untuk yang tidak menerima SMS gua, jangan risau, lu orang masih "kenang daku dalam doamu"...dan gua harap gua pun ada dalam doa lu.
Gua masih sengal.
Masih belum mampu untuk tersenyum seperti Maisarah yang gembira dengan krim cup cake mama dia (ada yang nak tempah cupcake,contact gua, jangan malu-malu).
Kepala gua buntu.
Tangan gua kaku.
Tapi gua percaya, gua diuji dengan peperiksaan (baca: ujian) yang gua boleh lalui. Gua bersyukur, isteri gua tak banyak songel. Tak pernah merungut atas kegagalan gua untuk masa ini. Sedikit sebanyak, itu jadi gua punya tiang kekuatan untuk gua berdiri. Gua bersyukur, atas pertolongan teman-teman jauh dan dekat, memberi tangan bantuan untuk menarik gua keatas. Ya, gua susah beb.
Gua percaya...ini semua bekal hari depan.
Supaya gua tahu dan sedar, ada tangan yang diangkat ditepi jalan itu, menadah simpati orang ramai, sedang hidup lebih dengan penuh sukar berbanding gua.

Monday, December 17, 2007

Hilang fokus dan tercari-cari sesuatu yang hati dan otak tidak selari dalam mencarinya


Ya, begitulah lebih kurang rasa yang menyentap-yentap setiap sudut rasa dan kotak fikir aku.
Kebelakangan ini aku mulai rasa tidak terfokus. Mata aku berbalam-balam dan kadang kadang ada rasa denyutan laju dijantungku.
Bahana kafein, mungkin.
Tapi aku perlukan dos hitam bercampur susu ini yang memberikan mata aku peluang untuk berjaga tatkala angin ngantuk bertiup kencang. Aku perlu berjaga untuk menyiapkan tugasan-tugasan yang telah diamanahkan kepada ku untuk melaksanakannya.
Tetapi,
mata aku berbalam-balam ketika menatap skrin PC.
Aku tak boleh fokus pada tugasan aku.
Aku berhenti sekejap.
Menaip url YouTube.
Masih gagal menyegarkan mata,mengembalikan fokus.
Aku menaip blog aku sendiri. Membaca catatan-catatan kodok daripada pautan link disisi kiri blogku.
Kemudian membaca catatan-catatan sonsang oleh penulis blog yang kerap aku baca kebelakangan ini.
Tentang neraka (yang tiada langsung kaitan dengan agama:syurga dan neraka), tentang pemerhatian seorang melayu atau tentang perjuangan untuk Tanah Melayu.
Ya, pembacaan ini membuat aku kembali bertenaga.
Dan dalam berbalam-balam mata ini, aku meneruskan hal tentang seminar, tentang tesis aku yang tersangkut tak siap-siap, dan juga mencari sumber kerja kerana aku sudah tidak dibiasiswakan lagi.
Ada kerja kosong?

Tuesday, December 11, 2007

Hujan di Kuala Lumpur, Banjir di Kelantan


Aku ada rasa sedikit tak percaya pada blogger ni. Apahal entah, entri aku yang sudah sejengkal aku tulis, meluahkan rasa tak puas hati aku, tiba-tiba tidak dapat diupload.Dan kemudian hilang.

Lebih malang, aku patut save or copy dulu entri tu sebelum tangan gatal aku hit "Publish Post" button tu. Padahal hati dah sound tadi.

Sekali lagilah aku tulis: Tajuk entri ni takder kena mengena dengan apa yang aku nak tulis ni. Sebab apa yang aku tulis ni sebenarnya tentang perasaan tak puas hati dan rasa terikat serta mulut terkunci daripada meluahkan rasa yang terbuku didada.

Aku fikir, faktor umur adalah penyebab utama kenapa aku semakin kurang vokal terhadap apa yang hati aku rasa?
Kenapa aku cakap macam tu?

Kalau rasa yang sama ini hadir dalam jiwa aku pada ketika aku berusia awal 20-an dahulu, ketika nafsu remaja membuak-buak, ketika agresif aku berada dipuncak, pasti tindakan aku lebih fizikal dan keras. Jadi, pada usia yang menginjak ke akhir 20-an ini, jika bukan kematangan yang menjadi penghalang kepada tindakan-tindakan "agresif tanpa banyak berfikir" aku, pastilah kerana tahap testosteron aku semakin rendah.

Mungkin Power Root boleh membantu.

Aku sebenarnya semakin bosan dengan isu-isu kat Malaysia ni. Isu banjir, isu rasuah, isu barang naik, isu tol dan petrol naik, isu SPR tak telus, isu orang India tak puas hati, isu surau kena runtuh dan banyak lagi. Sama ada benar atau terancang setiap daripada peristiwa ini, aku jadi lebih bosan bila aku rasa aku tidak dapat meluahkan rasa/pendapat. Mungkin juga perasaan ini ada dalam hati beberapa rakan aku, bezanya mereka tidak bekerja dengan majikan yang tidak perlu mencarum PERKESO. Jadi mereka boleh bersuara. Tulis la kat blog. Pergi berdemonstrasi. Rakam pancutan air berbahan kimia oleh pihak berkuasa(?) dan upload di YouTube. Suara mereka tertulis. Bahasa mereka terbaca. Kata-kata mereka terakam.

Aku?
Paling-paling pun meluahkan rasa kepada sang isteri yang sekali sekala memberikan respon, dan mungkin dalam kebanyakan waktu yang lain berkata didalam hati "apakejadnya suami aku ni?"

Friday, October 26, 2007

KisSing (1)

Ini bukan idea baru. Mungkin kisah pendek sebegini tak begitu mengambil masa untuk ditulis dan dibaca. Saya namakan "KisSing" (Kisah Singkat).

Berbudi bahasa itu penting.
Sangat penting sehinggakan kesan dan akibat daripada berbudi bahasa ni kadang-kadang membuatkan seseorang memberikan respond yang abnormal dan sangat menyentuh kalbunya.

Petang tadi, tangan dan hati tanpa sangsi memilih barang-barang di sebuah kedai.
Satu diambil.Satu diletak ke bakul.
Dua diambil. Menyertai satu dibakul.
Hingga bakul separa penuh.

Dikaunter,tokei kedai mula mengimbas kod bar barang.
Satu barang..tut..tut.. RM10.90 di panel cash machine nya.
Dua barang..Tut..tut..RM15.90 ditambah.
Hingga barang terakhir daripada bakul separa penuh, jumlah kesemuanya RM132.50.

Kad kredit dihulur.

"Encik,kad kredit ni dah patah" kata tokei.
"Takper,cuba dulu." kata siapa lagi.

"Encik,chip failed" kata tokei.
"Takper, cuba kad ini pula." Tangan cepat-cepat keluarkan kad lain dan beri pada tokei.

"Encik, chip failed juga" kata tokei.
Cis!
"Takper, saya bayar cash."
Muka rasa panas.
Tangan cepat-cepat keluarkan kepingan wang kertas.

"Tapi Encik kena bayar ngam-ngam RM132.50"
Ces. Demand pulak!
Geram la nih.
Muka lebih rasa panas.
Tangan lebih laju mengorek-ngorek dompet.

RM132.50 bertukar tangan 10 saat selepas itu.

Kemudian, senario ini tiba-tiba berlaku...

"Wah! Encik memang bagus. Saya suka customer macam encik. Encik cekap lah. Encik pandai lah. Datanglah lagi kesini. Nanti saya boleh bagi diskaun dan seterusnya.." dengan suara yang begitu teruja dan mesra, tak macam masa bilang kad kredit aku di reject tadi.

Secara otomatis ketika itu,muka jadi tak panas dah. Senyum terus sampai ke telinga. Badan dah terasa ringan dan melayang-layang dengan pujian...

Kan penting budi bahasa tu?

Tak sedar harga RM132.50
Tak ingat kad kredit tak boleh guna (kenapa eh?gua dah bayar ok....)

Jadi,berbudi bahasalah kita yer?.

Nota kaki: Gambar Maisarah di kolam tiada kaitan dengan KisSing ni, sekadar hiasan dan makluman, Maisarah first time masuk kolam dan dia suka mandi kolam!

Tuesday, October 23, 2007

Ouchh!

Ini bukan kali pertama saya menulis tentang sakit kepala. Hari ini sakit kepala lagi. Macam-macam cara yang dah dibuat, tapi belum betul-betul berhasil, untuk hilangkan sakit kepala yang semakin tegar ni.

Silap sendiri jugak.

Ahad malam lepas, sambil menunggu order nasi goreng kat desa pandan, hujan turun renyai-renyai.Tak lebat, rebas kata orang. Tapi mamat yang goreng nasi goreng tu punyalah lama, sampai kan hujan yang turun sikit-sikit tu mulai menunjukkan kesan diatas tubuh yang menunggu nasi goreng, di bawah hujan.

Balik rumah, terus tidur. Nasi goreng pun tak dimakan.

Hari isnin, jam 6:00pagi sudah terasa denyut-denyut kecil dibelakang kepala. 2biji panadol dimakan dan tidur semula. Bagitahu Eina, tak boleh nak gi kerja, dia kena ambil public transport untuk ke UKM.
Dan hari isnin berlalu dengan 6 biji panadol ditelan tapi denyut-denyut kecil itu hanya semakin menggila.

Hari ini, 5 biji panadol (sebiji panadol terjatuh, kalau tak jadikla 6 biji) dah ditelan. Tapi sampai saat ni, sakit kepala ni masih bermastautin.

Help!

Friday, October 12, 2007

CyberCafe


sejak ada streamyx dirumah, gua dah tak jenguk cybercafe dekat rumah mertua gua tu.sebelum ni,dalam seminggu gua akan lepak sejam or dua jam kat cybercafe yang bingit tu.
Bukan lah sebab gua jatuh cinta ngan awek kat cybercafe tu, dan bukan jugak sebab gua suka PC dia yang banyak game, tapi gua suka usha-usha budak-budak bawah umur yang begitu asyik main permainan online/LAN seperti Counter Strike (CS).
Ya, kebanyakan mereka akan menjerit-jerit, memaki-maki kawannya di PC yang lain ketika bermain CS ini.Kalau pun bukan carutan yang merangkumi haiwan haram, mahupun bahagian badan yang tertentu sama ada kepunyaan mereka atau bukan kepunyaan mereka, memaki ni macam satu bentuk komunikasi antara mereka. Gua bukan la budak skema, tapi gua tak mencarut. Jadi bila budak-budak bawah umur ni tanpa segan silu mencarut,memaki dan menjerit-jeit, gua hairan sikit. Sikit la.
Tapi memang ramai budak-budak bawah umur ni yang suka bertandang ke cybercafe. Kalau bukan sebagai pemain CS, sekurang-kurangnya sebagai penyokong dan tukang sorak merangkap tukang maki.
Hari ni, gua masuk cybercafe kat desa pandan ni setelah sekian lama. Separuh premis ni diisi oleh budak tak cukup umur ni. Dan dah lama gua tak dengar makian "BODOH" bersahut-sahutan. Gua rasa, lepas raya ni tokei cybercafe ni lebih tersenyum lebar sebab budak tak cukup umur ni pasti kembali dengan WANG BESAR untuk menyambung pengajian CS mereka.
cartoon from www.getpakistan.com

Wednesday, October 03, 2007

Jantung untuk Hui Yee

Adik Hui Yee sudah setahun hidup dengan jantung mekanikal, yang hanya dapat bertahan selama 2 tahun (naper la orang yang cipta jantung ni tak buat untuk boleh diguna lama-lama?). Setahun berlalu, masih belum ada penderma untuk Hui Yee. Maknanya tinggal satu tahun lagi sahaja untuk Hui Yee hidup (ni perkiraan manusia, ajal tetap di tentukan Allah).

Jadi seluruh media massa menyeru untuk membantu Hui Yee. Membantu Hui Yee bermakna satu nyawa perlu pergi, demi memberikan nyawa buat Hui Yee. Bukan sesuatu yang senang.

Ada pendapat berkata, inilah masa untuk mereka yang merasakan diri tidak pernah berbuat amal kebajikan, peluang untuk menebus dosa setelah dirinya meninggal.

Apapun, apa kata mat-mat rempit diluar sana: Jika anda ingin berlumba dihari raya nanti, dan anda rasa ada kemungkinan anda akan mati kerana perbuatan sia-sia anda, jangan lupa hubungi Utusan Malaysia di talian 03-9221 7055 sambungan 123 dan dermakan jantung anda kepada gadis yang berasal dari Batu Pahat, Johor ini dengan menghubungi Pusat Transplant Negara di talian 03-2615 6576 atau talian bebas tol 1-800-88-9080.

Jangan lupa ya. Anda boleh beramal selepas anda meninggal.

Wednesday, August 29, 2007

Saya bertanya pada saya tentang MERDEKA

Pada suatu hari yang indah dalam tahun 1957, pada tarikh 31 Ogos, jam 9:30pagi Tunku Abdul Rahman melaungkan perkataan keramat "MERDEKA" sebanyak 7kali.Diikuti dengan azan tanda rasa syukur atas nikmat kurniaan Illahi. Kemudian bendera Malaysia dinaikkan serentak dengan lagu Negaraku dimainkan buat pertama kali. Itu 50 tahun lalu, pada hari yang begitu bersejarah, sebuah negara bebas tercipta, sebuah bangsa Malaysia yang berbilang bangsa menjadi satu bangsa bersama.Demi negara,Malaysia!

2hari lagi, kita bakal menyambut kemerdekaan Malaysia yang ke 50. Saya terfikir...
-saya tak letak bendera kat kereta,saya tak merdeka ke?
-saya tak catkan warna jalur gemilang kat dinding rumah,saya tak merdeka ke?
-saya tak sertai perarakan nanti,saya tak merdeka ke?
-saya tak pergi tengok percikan bunga api nanti,saya tak merdeka ke?
-saya tak pergi kelab malam yang ada sambutan kemerdekaan,saya tak merdeka?

-apa saya buat untuk merdeka ini?
Takda apa.
Jadi saya tak merdeka?

-Jadi orang yang letak bendera kat kereta,Merdeka?
-Orang yang cat rumah dengan warna Jalur Gemilang,Merdeka?
-Mereka yang sertai perarakan sahaja yang Merdeka?
-Mereka yang tengok percikan bunga api,Merdeka?
-Pergi kelab malam yang ada sambutan kemerdekaan,Merdeka?

Emh..kata hati saya,saya tetap MERDEKA.Saya bersyukur pada Allah atas kurniaan kemerdekaan ini(semoga ianya terus berkekalan,Aminn...).Berterima kasih pada pejuang yang ternama dan tidak bernama yang mendapatkan kemerdekaan ini. Generasi pasca merdeka perlu membaca sejarah yang benar tentang kemerdekaan ini.Barulah kamu boleh berbangga dengan benar,bila bendera berkibar di atas kereta kamu..

Eh,masa saya "google" perkataan merdeka, saya terjumpa kartun ini:








Merdeka kah kita?

Sunday, August 19, 2007

Attitude

Sorrylah, bukan nak cerita buruk pasal orang lain tetapi memang perkara pasal attitude ni boleh jadi perkara pokok kepada pembangunan diri seseorang itu, sekaligus memberikan kesan langsung kepada perkara lain seperti organisasi dimana dia bekerja, keluarga mahupun masyarakat (baca:bangsa) itu sendiri.

Perkara macam attitude ni, satu teguran dan ingatan juga untuk diri saya sendiri. Perkongsiaan cerita ini pula diharap dapat dijadikan sempadan dan tauladan jika ada untuk semua.

10 Ogos yang lalu, saya ke satu seminar anjuran Persatuan Kajiparasit dan Perubatan Tropika Malaysia. Topik seminar yang menarik ini adalah : Sains Forensik. Walaupun dah dekat dua tahun meninggalkan bidang forensik ini, sejujurnya saya terasa seperti "berpisah dengan bekas kekasih". Terus dekat dihati walaupun berjauhan untuk mungkin selamanya.

Dalam seminar seperti ini, yang hadir bukanlah orang khalayak, meskipun ianya terbuka kepada semua. Kebiasaanya, mereka yang berminat untuk seminar seperti ini adalah mereka yang berada dalam bidang itu sendiri, pensyarah, para penyelidik, pelajar atau salesperson yang beri sponsor. Jadi, boleh dikatakan mentaliti dan pendidikan mereka yang hadir juga bukanlah ditaraf bawah. Jadi apa ynag saya cuba sampaikan disini bukan masalah masyarakat bawahan tetapi masalah attitude ini juga berlaku kepada mereka yang tak mahu sedar tentang pentingnya kesedaran tentang itu.

Memetik Tuan Amidon Anan, bekas Ketua CSI PDRM yang berulang kali menyatakan tentang sikap sesetengah polis yang tidak kisah tentang cara pengendalian bahan bukti ditempat sesuatu kejadian jenayah berlaku. Perkara penegendalian bahan bukti ini bukan perkara kecil kerana ia boleh diadikan alasan oleh mahkamah untuk sesebuah kes ditolak. Malah, hari ini apabila sesuatu kes itu cuba dikuatkan denagn bahan bukti seperti DNA, sikap 'tak kisah' memang perlu dan sangat penting untuk dihapuskan. Even a minute source of DNA can link you to the case, as far as the DNA is concern. Boleh bayangkan jika pengendalian kes jenayah dilakukan tanpa sarung tangan, tanpa persediaan yang terancang, maka bahan bukti mungkin menjadi lemah atau cross contamination boleh berlaku. Jadi, disini masalah attitude boleh menjadi isu yang besar kepada pengurusan jenayah. Kalau polis tak kisah, asal kutip sahaja, apa yang boleh berlaku dimasa hadapan? Penjenayah juga menonton CSI..kan?
Sedang khusyuk mendengar ceramah yang menarik itu, tiba-tiba bunyi handphone kuat kedengaran. Panjang pulak tu.Mungkin tuan punya handphone itu perlu mengambil masa untuk mengeluarkan handphone daripada poket seluar. Kemudian, bunyi itu hilang TETAPI kedengaran pula suara tuan punya handphone menjawab telefon tanpa peduli orang yang sedang memberikan tumpuan pada seminar.
Hello!!!! Fikirlah orang lain jugak!
Tak lama selepas perbualan tadi tamat, dan saya kembali memberikan kosentrasi pada ceramah Tuan Amidon, bunyi handpphone yang sama muncul lagi. Serius la ini orang..Takde attitude, no manner yang betul bila berada dalam seminar.
Aiyah..Bila pergi seminar, dalam mesyuarat, dalam panggung wayang, dalam masjid atau tempat ibadah yang lain - tak kan tak faham-faham lagi untuk tukarkan mode telephone anda kepada silent mode atau meeting mode atau padamkan terus jer. Tapi saya agak, orang macam ni memang tak paham bahasa punya orang. Kalau dah sekali berlaku, take action la. Ni tidak, berlaku lagi dan selamba badak pulak jawab phone macam dia seorang dalam Auditorium Ungku Omar, IMR tu.
Itulah. Sekali lagi saya nak katakan, yang datang seminar tu pastilah bukan orang tak berpelajaran, tapi ada yang buat tak kisah dengan attitude. Padahal, siapa kamu bukan sahaja apa yang kamu lakukan untuk diri kamu, tetapi apa yang orang lihat pada kamu!
Gambarhiasan daripada "Aku dan Sesuatu-Aie".


Tuesday, May 29, 2007

Komik

Sejak awal remaja lagi, saya sudah gemarkan komik. Malah disekolah asrama lagi, sebahagian duit saku saya peruntukkan untuk membeli majalah dan komik. Pada waktu itu, UJANG yang diterbitkan oleh Kharisma Publication (yang kemudiannya bertukar penerbitannya kepada MOY sehingga sekarang) adalah antara majalah kartun yang menjadi koleksi saya. Kalau tak silap, keluaran UJANG #1 masih lagi dalam simpanan. Pada waktu itu, antara kartunis yang menjadi "idola" dan menyebabkan saya terus membeli majalah itu, pastilah kartunis Aie yang famous dengan Blues Untuk Aku, Abe(karya bersama Ujang) dan Aku hidup dalam Blues(karya bersama Toyon). "Kartini" oleh Tembakau juga antara karya agung yang menjadi ikutan saya semasa di sekolah rendah. Pada waktu tersebut, selain lukisan mereka yang sangat menyerlah, sebenarnya pengaruh kuat yang ada pada setiap karya mereka (merujuk pada hasil Aie, Ujang dan Tembakau) adalah gaya bahasa yang mereka gunakan yang menjadi tunjang penceritaan. Saya menjadi pembeli tetap majalah Ujang yang kemudian dibeli bersama dengan majalah Apo?, kerana ingin mengikuti hasil karya dan kreatiiviti penulis/pelukis ini tadi. Sehinggalah satu masa, akibat perkara tertentu Aie, Ujang dan Tembakau "hilang" daripada industri komik Malaysia. Dan saya berhenti menbeli majalah Ujang, Apo? atau apa sahaja majalah terbitan MOY. Tiada apa lagi yang dicari dalam majalah kartun itu kerana pelukis idola saya sudah tiada disitu.

Kemudian baru-baru ini Aie keluar dengan produksi sendiri (Aku dan Sesuatu) dan entah kenapa produksi ini juga sering tenggelam timbul. Tapi saya masih percaya pada karya Aie yang satu ini, dan masih menunggu sambungan naskah beliau ini.

Ujang pula kembali bersama Gila-Gila(rasanya lah) selepas mencipta pelbagai genre penerbitan yang lari jauh daripada komik seperti majalah memancing dan juga majalah ala dakwah.

Tembakau pula baru kembali dengan Kartini...Kembali tetapi entahlah, tak seperti dahulu lagi garapan idea nya. Malah mungkin dengan kembalinya Kartini ini, tiada impak besar dalam industri komik Malaysia yang sebenarnya sudah (semakin) besar.

Sekitar tahun 2003 (mungkin), GempakStarz memeriahkan arena komik Malaysia dengan kehadiran komikus yang lahir dengan genre dan idea baru. Idea yang membawa bersama elemen-elemen barat dan timur dalam hasil karya mereka. Tetapi, tulisan saya kali ini adalah untuk bercerita tentang sebuah garapan daripada salah seorang komikus GempakStarz iaitu Slaium.


Utopia High (UH) adalah antara karya Slaium yang bagi saya penuh dengan ideologi dan pemikiran yang sangat memberansangkan. Kalau disusuri penceritaan karya ini yang berlatarbelakangkan kisah pelajar sekolah (daripada sekolah rendah hingga menengah), kisah ini menekankan tentang prinsip hidup, dan prinsip persahabatan yang kuat. Idea yang diselangi dengan beberapa "quote" dan kadangkala lirik lagu, menjadikan bacaan santai ini sangat bermakna.
Mungkin sudah dewasa ini, komik yang bermesej lebih saya gemari berbanding komik sekadar kartun. Mungkin sesetengah berpendapat, komik hanyalah bacaan ringan dan kurang bermanfaat tetapi pada pandangan saya, jika kita memilih komik yang betul ianya sedikit sebanyak membuka hati kita dalam menilai sesuatu perkara. Memetik kata-kata watak dalam UH- Hunting High and Low #21 iaitu PowerBoys:
" Kehidupan adalah seperti berlayar di atas kapal tanpa panduan kompas. Impian merupakan rumah cahaya yang memberikan panduan jalan untuk pulang "
Fikirkan.

Sunday, May 27, 2007

1st Anniversary

Setahun yang lalu, dengan 3 kali lafaz barulah sempurna "akad dan perjanjian" antara saya dan zarina. (3x tu ada sebabnya tau..bukan sebab saya gelabah,hehe) Dan hari ini genaplah setahun kami bersama sebagai suami isteri. Usah cerita tentang duka dan gembira kerana itulah asam garam kehidupan. Seperti pelengkap kepada rasa sebuah hidangan, tangis dan ketawa adalah syarat kehidupan.

Banyak sudah yang dilalui, tetapi keterujaan tetap wujud kerana kita tidak tahu apa yang bakal menghadapi kita dimasa hadapan. Baik dan buruk setiap peristiwa yang bakal berlaku memberikan makna untuk kehidupan diteruskan.
Arghh..susah pulak nak mengarang malam ni. Dah lama sungguh tak buat catatan di dalam blog ni. Lama jugak tak jumpa kodok2 untuk membuat onar diKLCC selepas menonton movie. Apa khabar kodoks sekalian? Sumolah, apa cerita?

Beginilah.

Lepas nikah, banyak juga peristiwa perit macam kecurian kereta, kamera digital, dan baru-baru ni pulak laptop yang menjadi nadi untuk menyiapkan tesis sarjana, turut menjadi mangsa kecurian. Entah kenapa, orang kata kena mandi bunga? heh!


Teringat sebuah lagu Dewa yang bicaranya tentang keadaan diri seseorang yang menerima dugaan hidup dengan senyuman, kerana percaya setiap yang berlaku adalah sudah ditentukan.

" Hadapi dengan senyuman
Semua yang terjadi, biar terjadi
Hadapi dengan tenang jiwa
Semua... kan baik baik saja "

Yup, kehadiran Maisarah dalam hidup kami adalah anugerah yang terindah. Sudahpun dua bulan cik maisarah kami ni. Tapi atuk maisarah pun belum lagi jumpa dengan maisarah. Busy ye atuk? Oh, terima kasih kepada teman-teman yang dapat menghadirkan diri pada majlis aqiqah maisarah pada 20 Mei tempoh hari. Kami sekeluarga berterima kasih atas kesudian kalian meluangkan masa.

Malam Anniversary kami ajak keluarga zarina makan Domino pizza. Letak satu lilin atas domino, dan kami tiup sama2. Heh!

On a personal note, I would like to express my sincere love to my beloved wife Zarina Yang Ahmad for being there as my wife, my friend and my partner. Thank you so much for your sacrifice to be a mother to our dear baby Maisarah. Happy anniversary, sayang.


Emh...hari ini saya perlu letakkan dalam diri untuk menghadapi hari-hari mendatang (yang mencabar ini) dengan lebih tabah dan kuat. Saya tahu, hidup ini bukan hanya saya seorang tetapi adalah perkongsian hidup kami.


" Bila ketetapan tuhan
Sudah ditetapkan, tetaplah sudah
Tak ada yang bisa merubah
Dan takkan bisa berubah

Relakanlah saja ini
Bahwa semua yang terbaik
Terbaik untuk kita semua
Menyerahlah untuk menang "

Tuesday, March 13, 2007

Nota 9: Belum lagi...

Pagi Khamis (8hb Mac) itu, dalam bersiap2 nak ke Klinik Kesihatan Kampung Pandan untuk routine checkup (minggu ke 39), Eina terperasan ada tompokan darah pada tuala mandi. Bergegas-gegas siap, dan terus kami ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Di HKL, Tuhan jer yang tahu betapa dalam ketenangan wajah, dihati dan otak ada seribu satu perasaan dan fikiran yang bersimpul tanpa jawapan. Daripada saat Eina mendaftarkan diri di Patient Assessment Center (PAC), hinggalah dimasukkan ke Wad 1A, hati begitu berdebar-debar sekali.

Rutin biasa yang dilalui Eina, memberikan pelbagai reaksi kepada saya. Sekejap-sekejap tekun mendengar, sesekali menyampuk memberikan pendapat. Daripada ujian urin ke ujian cardiotocography** (CTG) semuanya saya dengar dengan khusyuk sambil didalam hati berdoa semoga proses kelahiran ini berjalan lancar dan selamat untuk Eina dan baby.

Dari satu ujian, ke satu ujian. Dari satu sesi makan, hinggalah ke sesi makan seterusnya, Eina masih belum menunjukkan progress untuk melahirkan. Untuk sesiapa yang dah ada anak, atau mungkin dah biasa dengan proses kelahiran ni, pasti tahu apa yang dimaksudkan dengan progress ini. Segan lak nak tulis kat sini.

Eina ditahan diwad 1A malam itu. Dan saya pulang kerumah mak mertua di Kampung Pandan, jam 130 pagi, selepas memberikan burger untuk Eina makan di awal pagi itu.

Esoknya, setelah doktor pakar memberikan keputusan check upnya, Eina dibenarkan balik. Sekali lagi CTG dan scan dilakukan sebelum Eina dan saya meninggalkan HKL lewat petang itu. Baby sihat dalam perut mamanya. Keputusan scan nampak macam baby girl (ish, belum leh confirm lagi), dan CTG masih okay. Eina kena buat close monitoring untuk contraction, dan baby kick chart (10 tendangan dalam 12 jam).

Tunggulah lagi...

dan qicha pun lum ada adik sepupu lagi...

"Qicha: mana adik ni??"

Wikipedia:

In medicine cardiotocography (CTG) is a technical means of recording (-graphy) the fetal heartbeat (cardio-) and the uterine contractions (-toco-) during childbirth. CTG can be used to identify signs of fetal distress.

Friday, March 02, 2007

Cerita 7:Menghitung hari

Hari ini, my lovely wife, Zarina akan balik ke rumah mak dia. Semalam, dah masuk minggu ke 38 usia kandungan. Kata orang, tengah tunggu hari jer lagi.

Eina akan duduk dirumah sampai tiba masanya untuk melahirkan "sidia" yang kami nantikan. Sama ada saya akan terkocoh2 balik dari office dan hantar ke hospital atau ketika Eina rasa tanda2 bersalin saya ada disisi, itulah yang akan saya nanti-nantikan.

Kalau belum bersalin minggu depan, saya akan duduk diBangi sendiri. Mudah untuk ke UPM atau Ke Nottingham University sebenarnya, nak siapkan kerja penyelidikan yang Insya Allah akan tamat tengah tahun ni.

Emh..

Apapun, doakan kesejahteraan Eina dan baby... yer?
Terima kasih.

Tuesday, February 06, 2007

Kisah 6: Sesuatu yang tidak terlihat...

Hati masih lagi terasa pedih.
Lalu pagi ini, bercerita saya pada seorang kenalan.
Bukan warganegara Malaysia. Tanah airnya jauh nun di India.
Semasa saya bercerita, dia mendengar.
Tutur bahasa English saya bukanlah baik sangat, tetapi maksudnya sampai barangkali.
Terangguk-angguk kepalanya. Sesekali kepalanya digerak-gerak seperti kebiasaan kaum ini bila bercerita dan berbicara.

Hati yang marah pada pencuri ni bukan apa. Sebabnya dia bakal menyusahkan saya. Bukankah saya teringin merakam gambar bayi kami yang akan lahir nanti? Saya dah merancang2 untuk merakamkan wajah bayi kami, dan nanti-nanti ingin dirakamkan detik-detik istimewa si kecil itu. Tapi si pencuri durjana itu memanglah orang yang terhina! Menyusahkan saya, malah keluarga kecil kami turut terkena tempiasnya.

Selesai bercerita, si teman tadi membuka bicaranya. Sebuah cerita yang tiba-tiba menyusup di hati kecil. Sebuah cerita yang seperti mengungkapkan sesuatu yang saya terlepas pandang dek rasa amarah terhadap si pencuri.
Cerita teman itu:

Ketika bapanya berumur 25tahun, beliau sudah punya 3 orang anak. Tinggal jauh di pedalaman disebuah kawasan di India, rumah mereka memang terletak jauh daripada rumah jiran yang lain. Jauhnya boleh dikatakan seperti, jika menjerit pun, belum dapat didengari oleh isi rumah yang berhampiran. Di rumah itu, tinggal bapanya bersama ibunya, dengan 3 anak iaitu dirinya yang ketika itu berusia 3 tahun, dan dua adiknya yang berumur 2 tahun dan 7 bulan masing-masing. Bapanya orang yang miskin, bekerja sebagai pekerja kontrak yang perlu berbasikal 90km setiap hari untuk ke tempat kerjanya. Lazimnya, bapanya akan keluar pagi dan pulang malam. Itu rutinnya. Di rumah yang tidak sepertinya itu, mereka sekeluarga diam disitu dengan keperluan yang sekadarnya.

Pada suatu malam dimusim panas, mereka sekeluarga tidur di luar rumah. Cuaca yang panas tidak mengizinkan mereka untuk tidur pada malam itu di dalam rumah. Dan pada malam itu, rupa-rupanya rumah mereka telah dimasuki pencuri. Seluruh harta benda didalam rumah itu telah dicuri. Segalanya. Mereka hilang semuanya. Kuali, tempat menyimpan susu, kain baju, duit yang ada, belanga malah bekalan susu untuk adiknya yang berusia 7bulan itu juga turut dicuri oleh si pencuri. Tiada apa yang tinggal untuk mereka kecuali rumah buruk itu dan pakaian yang dipakai masing-masing. Kata teman saya lagi, pencuri itu bukan saja mencuri malah malam itu mereka sempat memasak dalam rumahnya, tetapi malangnya mereka tidak dapat menghidunya. Malah di jangkakan si pencuri mesti datang beramai-ramai dan membawa kenderaan untuk melicinkan barangan dirumahnya itu.

Begitulah.

Keesokkan harinya, tiada apa yang ditinggalkan untuk mereka. Adiknya yang menangis mahukan susu juga tidak mampu diberikan susu kerana tiada apa pun barang yang tinggal. Maka datanglah semua jiran tertangga disekitarnya, ada yang meratap menangis mengenangkan keadaan mereka. Mereka yang menanggungnya sudah pastilah lebih merasa deritanya.
Dalam keadaan itu, dalam seorang sami (suami) yang tinggal tidak jauh dari situ. Sami ini, kata teman saya tidak pernah bercakap dengan keluarga nya sebelum hari itu. Tetapi pada hari itu, sami itu datang kepada bapa teman saya dan berkata, kesedihan kamu hari ini telah berakhir.

Mungkin itu takdirnya kerana sejak hari itu bapanya mula memperolehi kesenangan dalam urusan kerjanya. Malah beliau telah berjaya membuka perniagaan dan pada hari ini, beliau berjaya hidup senang dan berjaya membesarkan anak-anaknya dengan baik. Rumah kecil dan buruk itu telah menjadi mahligai indah yang besar untuk anak dan isterinya. Setelah melalui susah yang memeritkan, ianya seolah-olah dibalas dengan kebahagiaan dan kesenangan yang diperolehinya pada hari ini.

Begitulah.

Diakhirnya cerita teman itu, saya bersyukur tiada perkara yang buruk berlaku pada diri saya dan keluarga. Biarlah hilang kamera, tetapi nyawa masih diberikan-Nya. Ada mereka yang melalui saat yang lebih getir, namun berjaya mengharunginya. Mungkin ada hikmah disebaliknya semua peristiwa ini...

Hati, tenanglah dengan ujian ini...